cerita.

Tentang Pasukan #1

Pasti ramai yang kerap mendengar omelan bahawa ‘debat bukan pidato berkumpulan’. Pada hemat saya, ini benar. Debat ala parlimen bukan one man show, walau banyak pasukan yang dilihat membawa nama besar seorang pendebat konon sebagai sauh pasukan.

Ini pemikiran sempit yang perlu dibuang. Messi tidak akan berjaya di Barcelona tanpa hantaran tepat Iniesta dan Xavi. Khairul Fahmi Che Mat masih bergelut menjaga gawang akibat kelemahan benteng pertahanan.

Jadi entri ini akan menghuraikan serba sedikit tentang perkara-perkara kecil yang mungkin kita terlepas pandang dalam latihan debat. Maklum saja, latihan lebih tertumpu kepada kupasan fakta/isu, pembinaan kes, kekuatan persembahan, dan sebagainya.

Saya anggap kekuatan pasukan sebagai satu unit yang mempunyai strategi bijak amat penting untuk memastikan kes yang dibawa dilihat konsisten, begitu juga dengan serangan kepada pihak lawan.

1. Disiplin Semasa Waktu Persediaan

Biasanya, debat ala parlimen memberikan tempoh 30 minit untuk setiap pasukan menyiapkan kes dan hujah. Dalam hal ini, pendebat keempat (saya kurang gemar guna istilah pendebat simpanan) perlu biasakan diri untuk memantau masa persediaan. 

Ingatkan ahli pasukan tentang baki masa yang tinggal. Ini mampu mengelakkan masalah ‘tak cukup masa buat kes’ yang sering menjadi alasan para pendebat. 

Bukan semua ahli pasukan mampu menyertai perbincangan untuk membina kes. Justeru, penting untuk setiap ahli pasukan mengenal karakter satu sama lain. Terlalu banyak ide untuk kes pasukan sebenarnya tidak membantu kerana hanya ada 30 minit untuk menyiapkan kes dan hujah.

Molek sekali jika ada seorang pendebat yang menjadi pemudah cara atau pengendali perbincangan. Pendebat ini bertanggungjawab menyusun ide dan memastikan perbincangan tidak terlalu meleret.

Namun harus diingat, pengendali perbincangan bukan diktator. Waktu persediaan akan jadi sia-sia jika ada pendebat yang ingin memaksa ide diterima ahli pasukan. Kelak dalam gelanggang perdebatan, ahli pasukan lain hanya akan jadi burung kakak tua yang meluahkan kata tanpa makna.

Andai diserang celahan, mereka kelu tanpa jawapan.

Entri seterusnya akan mengupas strategi kecil namun penting yang boleh diguna pakai oleh pendebat sebagai satu unit pasukan ketika perdebatan berlangsung.

Jumpa lagi!

© 2020 nizambakeri.com