cerita.

Tentang nasi kerabu dan air mata yang bergenang

Kemaskini: 17 Nov 2019

Beberapa hari lalu, isteri saya kerap meluah idamnya menjamah nasi kerabu.


Jadi saya keluar berpagi-pagi dan singgah di gerai yang lazimnya menjual juadah sarapan Kelantan milik sepasang suami isteri (tekaan saya) yang hampir saban pagi berniaga di kaki lima berhadapan dengan apartmen kami.


Perhitungan awal saya, beli sebungkus saja. Tekak saya cuma mahu segelas kopi panas dan biskut empat segi lagenda Hup Seng.


Tiba di gerai, saya segera ditanya:


“Nak berapa bungkus, bang?” 


Soalan itu sedikit janggal kerana pelanggan biasanya ditanya ‘nasi apa’ terlebih dahulu.

Jawab saya, satu saja.


Wajah saya yang terpinga-pinga barangkali dikesan oleh wanita gempal itu yang menambah, “Hari ini semua percuma, bang.”


Saya terdiam. Dengan tiba-tiba saya diserang rasa terharu dan sebak. Dalam kemelut ekonomi semasa yang makin menghimpit, sebungkus nasi percuma terlalu mahal harganya.


Air mata saya bergenang.


Bagi sebungkus lagi, ujar saya.


Sambil berjalan pulang, saya tidak henti-henti mendoakan rezeki pasangan peniaga itu.


Baur kerabu dan budu, rangup keropok dan empuk harum daging bakar pagi itu terasa luar biasa lazatnya. Ditambah dengan senyum isteri yang tidak putus-putus.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com