cerita.

Tentang Hujah #2


Ada banyak soalan berkenaan hujah yang sering ditimbulkan oleh para pendebat, khususnya pendebat muda. Kebanyakan berkisar tentang isu yang sama – cara membentuk hujah dengan baik.



Saya percaya bahawa debat tidak memerlukan format yang terlalu ketat/rinci. Sebab itulah, sedikit sukar untuk saya menjawab dengan tepat andai ada yang bertanya – apakah bentuk hujah yang baik?



Pun begitu, tidak pula bermakna hujah boleh dibikin semberono tanpa sebarang pertimbangan.



Pada hemat saya, proses membentuk hujah yang baik bergantung kepada dua perkara; format pertandingan debat, dan jenis usul yang didebatkan.


Hal ini demikian kerana format pertandingan menentukan isi kandungan hujah. Debat Alam Sekitar, misalnya, merupakan pertandingan yang menitikberatkan kejituan fakta yang biasanya melibatkan penerangan saintifik. 



Jenis usul juga perlu diambil kira. Usul perbandingan, misalnya, mempunyai bentuk hujah yang berbeza dengan usul peribahasa dan semantik. Tentang usul, kena tunggu dalam siri lain.



Pembikinan hujah juga berkait rapat dengan proses pembentukan kes. Pun begitu, untuk siri ini, saya masih belum mahu sentuh tentang proses tersebut. Ya, kena tunggu dalam siri lain.



Untuk siri ini, kita telusuri kerangka hujah yang lazim digunakan dalam debat ala parlimen. 



1. Kata Kunci – Huraian – Contoh – Kesimpulan



Ini kerangka hujah paling biasa digunakan. Malah saya masih ingat saat mula-mula menyertai latihan debat, rangkaian perkataan ini perlu dihafal. Baru melekat dalam otak, kata guru debat saya.



Apa maksud kerangka ini?



Hujah didirikan dengan empat komponen. Pertama, kata kunci atau tajuk hujah. Kata kunci boleh hadir dalam pelbagai bentuk. 



Misalnya, bagi usul Pencemaran Alam Salah Industri, hujah boleh dilabelkan dengan kata kunci seperti ‘pencemaran air’, ‘pencemaran udara’, dan ‘pencemaran tanah’.



Apa pun bentuk kata kunci yang digunakan, molek sekali jika kata kunci berkenaan ringkas dan mudah difahami. Kata kunci yang meleret-leret atau bersifat huraian perlu dielakkan. 



Huraian pula merupakan penerangan terhadap kata kunci yang diberikan. Biasanya, huraian dibentuk daripada kes yang dibina dalam perdebatan. Oleh hal yang demikian, amat penting untuk para pendebat memahami bahawa fakta tidak semestinya huraian dan begitulah sebaliknya.



Misalnya, bagi kes kerajaan, Pencemaran Alam Salah Industri – pencemaran alam berlaku disebabkan industri menjadi penyumbang bahan cemar terbanyak berbanding punca pencemaran lain. (Ini contoh kes yang ringkas, bukan kes yang baik.)

Maka, kata kunci ‘pencemaran air’ bolehlah dihuraikan dengan menyatakan terdapat banyak punca bagi pencemaran air, tetapi industri merupakan penyumbang terbanyak. Boleh juga disertakan kaitan antara pencemaran air dan industri dari segi penggunaan air dalam industri dan sebagainya.

Fakta hadir selepas huraian. Secara ringkas, fakta merupakan bukti dalam dunia nyata yang menyokong huraian.

Misalnya, dalam usul di atas, pendebat menyenaraikan punca-punca pencemaran air dan peratusannya – seraya menunjukkan bahawa industri merupakan penyumbang terbanyak. Turut disertakan, sebagai contoh, sungai-sungai yang tercemar akibat pembuangan sisa industri.

Fakta berperanan sebagai bukti dan sokongan. Oleh itu, kurang molek andainya fakta dipindahkan terus dari sumber ke gelanggang debat tanpa sebarang penyesuaian.

Fakta mentah tidak akan membantu audiens memahami kes pasukan dengan baik. Misalnya, dalam contoh di atas, boleh saja andai pendebat menyertakan fakta tentang sungai-sungai yang tercemar. Senaraikan sebanyak mungkin. Sertakan juga kawasan laut yang tercemar.

Tetapi, adakah fakta sedemikian MEMBUKTIKAN bahawa pencemaran alam salah industri? Sudah tentu tidak.

Sebab itu, fakta perlu diteliti dan diperhalus. Mesti cari bahagian fakta yang selari dengan kes pasukan, bukan surih-tampal semata-mata.

Akhir sekali, kesimpulan. Kesimpulan boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Fungsinya sama, untuk mengingatkan kembali audiens tentang kes pasukan serta hujah yang telah disampaikan.

Biasanya, kesimpulan disampaikan dengan menyatakan kembali premis pasukan bersama ringkasan hujah.

© 2020 nizambakeri.com