cerita.

Tentang Hujah #1


Pengetahuan dan kemahiran menyampaikan hujah tidak hanya kritikal untuk pendebat pertama dan kedua semata-mata. Pendebat ketiga pun perlu arif dengan selok-belok hujah.



Kenapa?



Pendebat ketiga tugasnya membidas hujah, maka lebih tajam dan berbisalah setiap bidasan andai pendebat ketiga mendalami proses membina hujah berkesan – segala kelemahan hujah pihak lawan lebih pantas dikesan.



Saya akan cuba mengupas teknik penghujahan dalam beberapa sudut. Untuk siri pertama, seperti biasa, saya kurang gemar untuk berkongsi aspek teknikal.


Kita tinjau terlebih dahulu, apakah perkara yang dianggap hujah oleh kebanyakan pendebat muda (dan sebahagian pendebat utama) tetapi sebaliknya, perkara tersebut bukanlah hujah.



Seperti kata salah seorang guru debat saya, dalam debat amat penting sekali untuk mengesan “what is and what is not“.



1. Fakta



Fakta bukan hujah. Fakta hanyalah sebahagian daripada komponen hujah. Tanpa huraian, fakta tidak akan membantu penerangan kes.



Sebab itu, fakta yang sama boleh digunakan untuk menyokong kes kerajaan atau pembangkang, andai cara huraiannya tepat.



Sebab itu jugalah, fakta yang dilambakkan secara pukal dalam bentuk senarai, sekali pun kelihatan mengagumkan – jarang sekali menarik perhatian hakim sekiranya tiada penerangan yang jelas.



Fakta hanya akan menjadi hujah apabila dihuraikan berdasarkan jalan cerita yang telah dibina ketika pasukan membincangkan kes 30 minit sebelum perdebatan.



2. Bidasan



Bidasan bukan hujah. Saya tahu, pasti ada pembaca yang sedang merungut – aku tahulah bidasan bukan hujah, tak payahlah tulis.



Saya faham.



Cuma, banyak juga kesilapan yang dilakukan oleh para pendebat yang gemar sekali membidas hujah pihak lawan dan pada masa yang sama menerangkan kes pasukan sehingga terlupa untuk menyertakan hujah.



Tabiat begini juga wujud sekiranya pendebat buntu dalam usaha mencari hujah sendiri dan kononnya ingin “mengitar semula” hujah pihak lawan secara kebalikan (reverse).



Akhirnya, penerangan yang wujud hanyalah bidasan terhadap hujah pihak lawan tanpa sebarang komponen yang mampu menukar bidasan tersebut kepada hujah pasukan.



3. Pandangan Terhadap Usul



“Anda perlu menerima usul ini kerana…”, “Inilah sebab kami di pihak yang benar kerana…”, “Jelas sekali kebenaran di pihak pembangkang kerana…” – ini semua slogan-slogan kosong sekiranya pendebat hanya meleteri audiens dengan pandangan peribadi tanpa sebarang pembuktian.



Yang lebih menakjubkan, terdapat beberapa pendebat yang mampu berucap tanpa henti hanya dengan mengulang pendirian yang sama.



Seluruh audiens sudah pun mengetahui bahawa pendebat mewakili pasukan kerajaan atau pembangkang.



Maka terbazirlah masa yang telah disediakan andai pendebat memilih hanya untuk omong kosong dengan menyatakan pendapat tentang usul – walhal pendapat ini boleh saja diperkukuh dengan jalan cerita yang baik dan fakta yang tepat.



4. Analisis Logik



Sama seperti fakta, analisis logik hanyalah komponen hujah. Analisis logik tidak boleh berdiri sendiri sebagai hujah.



Misalnya, amat janggal sekali sekiranya bagi usul “Kita Perlukan Model Ekonomi Baru (MEB)”, hujah pihak kerajaan ialah: kita perlukan MEB kerana kita perlukan dasar ekonomi, mana ada negara yang tak ada dasar ekonomi.



Ini contoh sajalah.



Sekali pun analisis logik mudah dihadam oleh audiens, tanpa sebarang bukti, penerangan, dan fakta – analisis logik juga mudah dipatahkan oleh pihak lawan.



Apatah lagi sekiranya pihak lawan gemar memanipulasi logik sehingga kes dan hujah pendebat tenggelam begitu sahaja.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

© 2020 nizambakeri.com