cerita.

Sumpah: Bahagian Akhir

(Bahagian 1 | 2 | 3)

Mat Bijan masih menangis. Sultan Semuatahu tambah geram. Barangkali inilah manusia yang telah berlaku nista kepada puteri kesayangan baginda.

“Ayuh. Bersumpah sekarang, atau keris ini beta rodok ke dalam matamu!” Sultan Semuatahu sergah, seraya tegak berdiri di hadapan Mat Bijan.

Tangisan Mat Bijan surut. Lengan baju kumal kesat air mata. Mat Bijan tarik nafas dalam-dalam.

“Sumpah. Sumpah. Sumpah.” Sekalian rakyat di laman istana riuh menggesa sambil tepuk tangan.

Kali ini bergilir entah siapa menyusun tertib; lelaki jerit sumpah, wanita laung laknat.

“Sumpah.”

“Laknat.”

“Sumpah.”

“Laknat.”

“Diam semuanya!” Bendahara Terus Mata angkat tangan. “Benarkan Mat Bijan angkat sumpah. Bukankah kita semua mahu tahu siapakah yang berani meniduri Puteri Anganjelita?”


Mat Bijan tarik nafas dalam-dalam. Dengan takdir Ilahi Maha Berkuasa, langit serta-merta hitam. Awan bergumpal tebal, sambil dehem petir mula terdengar.

“Dengan nama Allah, saya Mat Bijan, tidak meniduri Puteri Anganjelita. Akan sekiranya palsu sumpah ini, maka turunlah laknat Allah ke atas saya. Bahkan sebenarnya saya melihat, baginda Sultan sendirilah yang meniduri puterinya sendiri!”

Khali. Khalayak bisu. 

Petir berdentum. Mat Bijan kekal bernyawa tanpa disambar.

“Bangsat tuduhan kau terhadap beta.” Sultan Semuatahu hunus keris. “Beta bersumpah, ini semua dusta!”

Mat Bijan pejam mata menanti tusukan keris Sultan Semuatahu. Tak guna melarikan diri.

Petir berdentum. Kali ini sinar kilat menyilau mata sekalian yang ada.

Sultan Semuatahu rebah ke bumi. Kepalanya berasap. Mukanya penuh gelembung, melepuh. 

© 2020 nizambakeri.com