cerita.

Sumpah: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

Fajar kazib bertukar sadik. Terang tanah, sekalian rakyat berjejal di laman istana. Tiga pemuda diseret keluar dari dalam rumah pasung. Ketiga-tiganya tangan terpasung.

Sultan Semuatahu melangkah megah, diiringi Bendahara Terus Mata dan Tuan Imam Janggutputih. Wajah Sultan berbaur cita dan amarah. 

Tiba di hadapan rakyat, Sultan Semuatahu segera bertitah, “Bahawa inilah bahana mencemarkan kedaulatan beta. Salah seorang daripada tiga manusia laknat ini telah meniduri puteri kesayangan rakyat. Hari ini, kita akan saksikan sumpah laknat lantaran ketiga-tiganya bacul pengecut tiada mahu walau seorang mengaku.”

Rakyat mengangguk. Bahkan demikianlah tabiat sekalian yang ada walau apa jua titah Sultan sekali pun, tiada lain, hanyasanya angguk setuju sembah restu.

“Ayuh, kita mulakan!”


Pemuda pertama berdiri di tengah-tengah laman. Bergema caci maki dari khalayak. Ada seorang tua kumpul kahak paling likat, seraya diludah tepat ke kaki pemuda pertama. Merah, berbaur pinang.

“Dengan nama Allah, saya Awang Lompong, tidak meniduri Puteri Anganjelita. Akan sekiranya palsu sumpah ini, maka turunlah laknat Allah ke atas saya.”

Sunyi. Tiada Awang Lompong terbatuk darah atau turun petir dari gumpal awan hitam menikam ubun-ubunnya. 

Khalayak tepuk sorak, malah ramai sekali meloncat girang. Awang Lompong bukan orangnya.

Pemuda kedua mengulang sumpah. Namanya Abu Kenit. 

Juga sunyi. Tiada Abu Kenit menggelupur sawan atau muncul harimau membahamnya hingga ke tulang-temulang. 

Khalayak tepuk sorak, malah ramai sekali melompat riang. Abu Kenit bukan orangnya.

Sekonyong-konyong, pemuda ketiga menangis. Sedu-sedan bertukar esak, bertambah nyaring menjadi teriak. Makin lantang khalayak hambur hina.

“Mengapa kau menangis?” Soal Sultan Semuatahu.

© 2020 nizambakeri.com