cerita.

Sumpah: Bahagian 2

(Bahagian 1)

Sultan Semuatahu garu kepala. Entah dari mana pula Bendahara mendapat buah fikir sebegini, fikirnya. 

“Bersumpah? Apa gerangan maksudmu ini, Bendahara?”

“Begini, Tuanku. Kalau kita tanyakan ketiga-tiga manusia bertopeng binatang ini akan siapakah yang meniduri puteri Tuanku, sudah pasti hingga matari terbit dari barat sekali pun tiada mereka ini tunduk mengaku.”

“Jadi?” Sultan Semuatahu kembali bersemayam.

“Jadi kita minta mereka bersumpah. Bahawa atas nama Tuhan, mereka ini bukanlah yang Tuanku cari. Andai mereka ini berdusta, maka turunlah laknat Tuhan pada mereka.”

Sultan Semuatahu gumam. Hulu keris diketuk-ketuk perlahan di dagu. “Bawakan Tuan Imam Janggutputih mengadap beta. Sekarang.”


Pengawal istana keluar. Selang beberapa ketika, Tuan Imam Janggutputih tampil di balairung seri, terpinga-pinga. Sambil angkat sembah, dia sempat menjeling tiga pemuda terbelenggu di pinggir ruang penghadapan.

“Ampun Tuanku. Gerangan apa musykil masyghul di hati Tuanku yang mampu patik selesaikan?”

Maka berlabunlah Sultan Semuatahu dari pangkal ke hujung, dari kepala ke ekor. Tuan Imam Janggutputih angguk sambil urut janggut.

“Begini, Tuanku. Saya anjurkan agar sumpah ini kita jalankan di masjid. Lebih tinggi nilai agama, lebih suci tampak zahirnya.”

“Tapi kelak tak ramai yang memerhati. Beta mahu sekalian rakyat melihat.”

“Jika begitu, tiada daya patik memaksa.” Tuan Imam Janggutputih akur.

“Maka dengarkan sekalian istana, beta bertitah.” Sultan Semuatahu berdiri tegak, keris kembali dihunus. “Esok pagi sesudah subuh, kumpulkan sekalian hamba rakyat di laman istana. Akan kita laksanakan sumpah laknat!”

Seisi istana khali.

“Daulat Tuanku!” Tempik Panglima Lawit.

“Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!” Seisi istana menyahut.

© 2020 nizambakeri.com