cerita.

Sumpah: Bahagian 1

Sultan Semuatahu jerkah sesiapa sahaja yang masuk ke balairung seri. Sesiapa. Termasuklah isterinya, Permaisuri Gembak Ribuwarna. Semuanya serba tak kena. 

“Siapa punya angkara semua ini? Bedebah! Beta tahu, salah seorang dari sekalian isi istana yang bersekedudukan dengan puteri beta. Siapa?” Keris lok tujuh dihayun-hayun. Sultan Semuatahu mahu darah.

Sekonyong-konyong, Panglima Lawit masuk ke istana. Tangannya mengheret tali sawar. Bukan kerbau di hujungnya tetapi tiga lelaki dengan tangan terbelenggu, dibuntuti pengawal istana yang bertombak.

“Ampun Tuanku.”

“Siapa yang kau bawa ke sini, Lawit?”

“Ampun Tuanku. Akan patiklah yang berkawal semalam di gerbang istana. Tiga pemuda ini yang patik lihat berlegar-legar tanpa tuju di laman kamar beradu Puteri Anganjelita.”

“Syaitan!” Sultan Semuatahu meluru ke arah tiga pemuda yang berlutut. Keris terhunus. Sultan Semuatahu bidik dada. Biar mati ditikam kesemuanya.


“Sabar, Tuanku. Sabar.” Bendahara Terus Mata sangga tikaman Sultan Semuatahu. Keris tercampak ke lantai. 

“Ampun Tuanku.” Bendahara bantu Sultan Semuatahu kembali berdiri sesudah rebah. “Bahkan arif benar patik akan amarah Tuanku pada sesiapa pun yang telah berbuat onar pada Puteri Anganjelita. Ada pun pada hemat patik yang tiadalah mampu menandingi kebijaksanaan Tuanku, ada moleknya Tuanku soal bicara terlebih dahulu. Kelak diketahui sang pendosa, Tuanku hukumlah di khalayak. Biar jadi teladan.”

“Bagaimana? Sedangkan anakanda beta pun tak melihat wajah binatang itu. Katanya berselubung.”

“Mudah saja, Tuanku.” Senyum Bendahara Terus Mata bersina-sinar. 

“Bagaimana?”

“Kita minta mereka bersumpah.”

© 2020 nizambakeri.com