cerita.

Redah Eropah: Episod 3

Kemaskini: 17 Nov 2019

Sesudah mendarat di Lapangan Terbang Stansted, kami segera menuju ke terminal bas.

Tangan saya mula menggigil.


Bukan kerana kesejukan namun sudah lebih jam 10:00 pagi dan saya masih belum menghirup kopi.


Mujur ada gerai Caffe Nero di terminal bas. Walaupun tidak seenak mana kopinya, namun cukup untuk mengubat ketagihan.


Kami mengisi perut bas National Express bersama para penumpang lain menuju ke stesen bas Victoria namun kami turun di pertengahan jalan.


Lebih tepat, di Marble Arch. Gerbang putih masyhur yang tegak di percantuman Oxford Street, Park Lane, dan Edgware Road.


Kami tidak bergambar di sini kerana lebih tertumpu untuk lekas tiba di hostel. Jadi terpaksa pinjam foto dari Google.


Gerbang putih yang berusia hampir 200 tahun ini pada asalnya merupakan salah satu gerbang masuk di taman Buckingham Palace namun dipindahkan ke sini sekitar 1960-an.


Kami sengaja berhenti di sini kerana mahu berjalan di sepanjang Hyde Park sambil menuju ke hostel. Barangkali tidak seindah musim semi atau musim panas, namun apa salahnya mengubat mata dengan hijau taman musim dingin.


Memang benar, pepohon pada musim panas tampak indah dengan daun nan merimbun. Hijau dan meredup. Namun saya sentiasa menganggap musim dingin mendedahkan sisi pepohon paling benar. Sirna daun, yang ada cuma dahan dan ranting paling seni. Pepohon melawan dingin kejur dengan yakin jujur.


Bukankah kita paling berani saat menjadi diri sendiri walau seisi dunia menafi?


Tiba di hostel, saya berlegar di luar sambil menanti mereka bertiga menyelesaikan urusan daftar masuk. Mereka bakal lena beralas tilam dan bantal.


Saya? Malam kedua bermalam di lapangan terbang. Tapi itu kita cerita dalam episod lain.

Selesai mengemas kamar, kami memulakan langkah meneroka London. Sebelum berpusu-pusu dengan warga London di dalam keretapi bawah tanah, saya sempat singgah di pejabat pos. Kirim poskad, seperti biasa.


Saya mengambil keputusan untuk membawa mereka ke lokasi yang lazim dikunjungi di London untuk membeli-belah: Oxford Street, Picadilly Circus, dan Covent Garden.

Yang turut diburu sepanjang hari bukan sahaja foto dan tempat yang bakal mereka serang untuk beli-belah, bahkan makanan yang sudah lama diidam sepanjang berada di Dublin:


KFC


Ya, Dublin tidak ada restoran KFC halal untuk kami rakusi.


Sebaik cawangan KFC halal ditemukan di kawasan Tottenham Court Road, kami hampir meluru masuk namun berpura-pura tenang.


Kami berhenti bergebang buat beberapa minit apabila hidangan di depan mata. Yang kedengaran hanyalah rangup tepung goreng sarat lemak dan bahan kimia yang tanpa gagal ditelan penuh nikmat.


Oh ya, dan ayam.


Sesudah kekenyangan, kami sambung perjalanan ke Trafalgar Square. Yang akan saya ceritakan dalam episod seterusnya.

© 2020 nizambakeri.com