cerita.

Redah Eropah: Episod 2

Kemaskini: 28 Dis 2019

Penerbangan kami ke London berlepas pada jam 8:15 pagi.


Jadual seawal ini membuat kami bimbang lewat ke lapangan terbang dan ditinggalkan.

Maklumlah, rumah bujang dengan satu bilik air dan empat penghuni. Mahu beratur menunggu giliran mandi pagi pun sudah mengambil masa.


Jelas kami masih tebal Melayunya, walau sedingin mana pun pagi, mahu disental jua tubuh dengan air suam.


Kalau dibikin seperti pemuda dalam Seniman Bujang Lapok atau mana-mana jejaka Eropah, pasti pantas waktu bersiap pagi. Hanya perlu sental mata dan berus gigi.


Jadi kami mengambil keputusan untuk tidur di lapangan terbang. Ironinya, dengan keputusan ini kami tidak akan mandi pun. Cuma mampu memastikan diri untuk berada di lapangan terbang tepat pada masanya.


Mujurlah Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin agak selesa untuk bermalam.


Banyak ruangan luas untuk berbaring, terutamanya di kawasan hadapan McDonald’s yang sentiasa menjadi tumpuan para penumpang untuk melelapkan mata andai perlu berlepas pada awal pagi.


Nota: Andai berkelana, anda boleh semak The Guide to Sleeping in Airports sama ada lapangan terbang yang bakal anda kunjungi sesuai untuk bermalam atau tidak. Hal ini penting andai penerbangan anda berlepas awal atau anda mahu menjimatkan kos penginapan untuk satu malam sebelum ke destinasi seterusnya.


Laman sesawang ini memuatkan pengalaman yang dikongsi bersama para pengembara tentang lapangan terbang di seluruh dunia. Di Nice misalnya, saya dibantu oleh laman sesawang ini untuk mencari kerusi yang tidak berpalang dan sesuai dijadikan katil sementara.


Ya, kadangkala anda akan terkesima tentang betapa rinci para pengembara berkongsi pengalaman.


Kembali ke Dublin.


Kami tiba di lapangan terbang sekitar jam 11 malam. Kawasan hadapan McDonald’s hampir penuh namun kami berjaya mendapatkan beberapa lajur kerusi untuk lena.


Kesemuanya tidur dengan aman, kecuali Redzmie atau panggilan mesranya Abe Mat (Abang Mat) yang masih sangsi tentang peluang kami berlepas pada awal pagi.


Dia tega berjaga dengan minuman likat kafein Monster sebagai teman. Barangkali ada kaitan juga dengan fobianya pernah terlepas penerbangan sebelum ini.


Kalau menurut logik itu, seharusnya saya juga punya fobia yang sama. Entahlah.


8 Januari 2015


Mujurlah kami semua bangun awal keesokan paginya.


Sesudah membersihkan diri ala kadar dan solat Subuh di pinggir balai berlepas, kami bersama-sama dengan penumpang lain menunggu giliran mengisi perut kapal terbang.

Masing-masing cuma membawa satu beg galas kerana kelana yang singkat, termasuk saya yang berkelana lebih lama ke Rom dan Venice sesudah London.


Nota: Andai berkelana dengan pesawat, pastikan anda cuma membawa satu beg sahaja ke dalam pesawat kerana rata-rata syarikat penerbangan tidak membenarkan beg kedua terutamanya syarikat penerbangan tambang rendah.


Lebih mudah andai anda memang hanya membawa satu beg untuk berkelana, jadi tidak ada beg yang perlu didaftar masuk.


Hal ini akan menjimatkan masa kerana anda tidak perlu beratur panjang di kaunter daftar masuk bagasi dan dalam situasi anda terlewat ke lapangan terbang, anda boleh terus meluru ke gerbang berlepas tanpa perlu risau tentang bagasi.


Syaratnya, bagasi harus sesuai dengan saiz yang ditetapkan.


Sambil menunggu giliran, kami terlihat petugas RyanAir mula mengedarkan pelekat kuning untuk ditampal pada beg para penumpang.


Rupanya kami perlu juga mendaftarkan bagasi masuk ke ruang kargo. Kata petugas itu, ruang di dalam bahagian penumpang sudah terlebih muatan.


Berkelana dengan syarikat penerbangan tambang murah, begitulah adatnya. Ada saja karenah yang perlu dihadapi.


Kata orang, yang dibayar itulah yang dilayar.


Terkial-kial kami mengeluarkan beberapa gajet yang dibimbangi rosak saat dicampak semberono oleh staf lapangan saat beg kami dipindahkan kelak.


Sambil enjin pesawat mula menderam, dengkuran kami turut mendalam.


Jadi, saya akan sambung catatan ini saat kami mendarat di London.


Jumpa lagi!

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com