cerita.

Pulut Pagi Jaka: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

“Waalaikumsalam.” Lebai Hadri bangkit seraya mendekati Jaka. “Buat apa kau datang sini?”

“Mana kau tahu pulut aku haram?” Mata Jaka terjegil, tangan bersilang di dada. Sabar masih bersisa.

“Jaka, ini rumah Allah. Jangan buat kecoh.”

“Oh, kau buat fitnah boleh pula?”

Lebai Hadri jeling kiri kanan. Jemaah mula resah, bisik melantun dalam udara curiga. 

“Aku cakap apa yang aku tahu. Kau memang beli ikan kering daripada Tauke Tong. Semua orang tahu barang-barang dia campur halal haram.”


“Itu kata kau.” Jaka enggan ulas. Dia tahu tabiat Tong. Segala yang diniagakan dengannya disimpan dalam stor lain. Tiada walau sehama berbaur dengan babi. Lebai Hadri mana tahu. Dia cuma beli barang Wak Said.

“Ini tanggungjawab aku, Jaka. Kau jangan masuk campur. Jangan buat kecoh dalam kampung aku. Baik kau keluar sekarang.”

Jaka kendur. Selama mana pun urat lehernya terik, dia pasti tumpas. Ini bukan kampung halamannya. Kalau orang sudah tak mahu, buat apa dipaksa-paksa.

Bunyi ekzos motor Jaka lempang-lempung meninggalkan surau Kampung Belatuk. Selang dua rumah, Jaka terlihat seorang anak kecil berdiri di pinggir jalan melambai-lambai ke arahnya.

“Pakcik. Pakcik. Saya nak beli pulut.”

Jaka gamam. Dia terus henyak pedal brek. Motor ditopang. Mulut raga dibuka. Aroma lemak asin terbebas.

“Berapa pakcik?”

“Seringgit.” 

Dua keping syiling lima puluh sen bertukar tangan.

“Kamu tak dengar kuliah di surau tadi?” Jaka sengaja menguji.

© 2020 nizambakeri.com