cerita.

Penting

Kemaskini: 17 Nov 2019

Saya terfikir untuk menulis semula dalam blog ketika menikmati malam malam yang lewat di restoran McDonald’s Jalan Tun Perak sesudah pulang dari pejabat.


Saya ingin kongsi tentang apa yang saya lihat kepada sesiapa yang sudi membaca. Tentang yang hinggap di mata lalu ditafsir minda.


Tentang semuanya.


Kembali ke restoran tadi.


Malam tahun baru, jadi ramai yang berpusu-pusu mendapatkan makan malam sebelum menuju ke kota untuk menyaksikan bunga api.


Mujur saya tiba hanya beberapa minit lebih awal jadi tidak ada barisan panjang yang menggalang selera. Saya memesan ayam goreng. Dapur mula riuh kerana saya merupakan pelanggan yang entah keberapa memesan menu serupa.


“Kat belakang tu, aku tengok dari petang tadi kalut. Tak tahu kenapa. Goreng dulu, yang ada tu goreng dulu.”


Itu luahan pengurus restoran yang mundar-mandir di belakang barisan penjaga kaunter. Ada yang tersenyum, ada juga yang murung dengan laungan tersebut.


Serta-merta saya terfikir, inilah cabaran yang mereka tempuhi saban hari untuk memenuhi keperluan pelanggan.


Pencapaian seorang tukang masak menggoreng bilangan ayam yang cukup dan kecekapan penjaga kaunter mengawal pesanan pelanggan amat penting bagi mereka.


Namun kadangkala, kita terlepas pandang tentang ini. Ramai orang, kadangkala termasuk saya, yang pantas sekali mendengus andai pesanan lambat tiba. Atau kita hanya memandang sesaat dua pada tukang cuci yang sedang gigih menyental lantai dan mangkuk tandas.


Bagi kita, mereka manusia ghaib yang cuma wujud sesaat dua dalam pandangan. Apa yang mereka buat, kurang penting. Yang penting cuma fail yang bertimbun di meja pejabat, atau perdebatan hangat di bilik mesyuarat.


Padahal mereka mengumpul tenaga untuk melunaskan tugas harian seperti kita. Tiada beza yang mencoret tandatangan pada kontrak jutaan ringgit dengan yang mendendang lagu sambil menadah topi di pinggir jalan.


Selesai dengan hidangan, saya keluar dari restoran dan berjalan menuju ke stesen LRT Masjid Jamek. Suara pengurus restoran masih belum surut melaung arahan.


Warga kota masih berpusu-pusu keluar masuk dari stesen untuk ke destinasi tahun baru.


Saya cuma menuju ke rumah. Bertemu isteri yang bergulat dengan kantuk dan kandungan yang semakin nakal menari-nari.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com