cerita.

Nota Ramadan #4

Kemaskini: 17 Nov 2019

Saya pasti, di mana-mana sekolah berasrama, sahur itu fiesta. Amat langka sekali ditemukan penghuni asrama yang dibuai lena tanpa mempedulikan hiruk-pikuk rakan-rakan yang (cuba) mengejutkan mereka. Kecuali bagi individu-individu yang memang tersohor sebagai penidur. 


Setiap asrama, paling tidak pasti ada seorang. Pasti. (Penidur asrama saya dulu – merangkap rakan sekelas dan teman yang amat rapat)


Kebanyakan tukang kejut ini, kalau musim peperiksaan, memang tidak tidur pun sesudah terawih. Masing-masing menelaah (atau mengacau orang yang menelaah) sehingga waktu sahur tiba – seraya bermulalah hingar-bingar.


Bangun! Bangun! Sahur! Sahur!


Fiesta sahur ini juga ditentukan oleh masa dan kelompok-kelompok yang wujud dalam asrama. Biasanya, kelompok pelajar yang berdisiplin akan tidur awal usai terawih dan menelaah. Sekitar lima pagi, berjejallah mereka ke dewan makan. 


Yang lain? Macam-macam. 


Ada yang bersahur awal: makan beramai-ramai sekitar jam satu atau dua pagi. Menu wajib, mi segeralah. Kalau di asrama saya dahulu, ada rakan yang menjual nasi lemak telur mata kerbau dan burger goreng dari luar. Amat laris. Kumpulan ini pasti menyambung lena sehingga subuh. Atau terlepas subuh.


Ada yang kurang berselera dengan hidangan dewan makan. Nasi goreng dengan ikan bilis dan sosej dihiris nipis yang perlu dicari dan digali persis harta karun di sebalik butir-butir nasi, ditolak perlahan-lahan melalui tenggorokan dengan teh suam tawar.


Jadi, apa lagi? Fly! Saya fikir, istilah semesta ini tidak perlu dilabun. Pelik juga istilah sama digunakan di mana-mana sekolah berasrama untuk menghuraikan tindakan pelajar keluar dari asrama (biasanya lewat malam) tanpa kebenaran warden.


Bukannya ada apa-apa pun, keseronokan melanggar peraturan tanpa ditangkap itulah sebenarnya deruan adrenalin yang dicari. Kalau sekolah berasrama di kawasan pedalaman atau pinggir bandar – apalah sangat yang ada di luar sekolah?


Barangkali satu atau dua kedai makanan segera, restoran mamak, atau gerai-gerai bersidai di pinggir jalan – roti canai, sate, mi-mihun-kuetiau sup. Itu saja. Bukannya fly untuk menikmati foie gras atau trio risoto bersafron-udang galah-ravioli berkaviar dengan limau.


Pulang dari fly, menyambung hiruk-pikuk dengan melintasi dewan makan sambil mencebik kumpulan berdisiplin yang masih belum menemukan ikan bilis dan hirisan sosej dalam nasi goreng.


Sekarang, hiruk-pikuk itu sudah tiada. Hingar-bingar semakin langka. Saya amat rindu. Barangkali sebab itulah sahur di rumah ala kadar sahaja. Pagi tadi: dua keping nuget udang dan segelas Milo.

© 2020 nizambakeri.com