cerita.

Nota Ramadan #1

Kemaskini: 17 Nov 2019

Penuh juga masjid semalam. Macam solat Jumaat pula. Ruang parkir penuh, mungkin sebab ada sebuah Mercedes S280 yang semberono letaknya. Yang lain tak dapat masuk.


Saya tiba di masjid agak lewat. Masbuk untuk solat Isyak. Nasib baik sempat berjemaah. Satu saf dengan lelaki berjubah putih (semerbak minyak atarnya menusuk) dan seorang anak nakal menyarung jersi tiruan Arsenal. 


Rata-rata ahli jemaah berbaju Melayu dan berpelekat. Rasa segan pula saya hanya berbaju T. Tapi tak mengapa. Bukannya wajib berteluk belanga atau bercekak musang. Yang penting, suci dan selesa. Bulu tengkuk saya mula meremang apabila Bilal Bersuara Lemak mengalunkan selawat sebagai tanda memulakan terawih. Ini benar-benar benar. Ramadan sudah tiba. Ya, memang lemak merdu suaranya. Muda dan segak pula. Saya kagum campur hormat.


Terganggu juga terawih dengan gelagat anak-anak nakal – seolah-olah tidak sedar mereka berada dalam rumah Allah. Hingar bertempiar, kejar-mengejar. 


Tepat imam memberi salam kedua usai pusingan pertama terawih, bunyi bedil bingit. Kelihatan siak bingkas dari saf, melangkah pantas ke belakang masjid sambil mulut terkumat-kamit.

Saya tidak layak membutirkan pesan ini, sebab saya tidak punya anak. Cuma pada hemat saya, mendidik susila anak di masjid bukannya membawa mereka ke masjid dan pasrah menunggu hidayah Allah.


Perlu diberi ingat sebelum ke masjid bahawa kita bakal ke rumah Allah, tempat orang bertemu Sang Pencipta. Andai tidak mahu turut berjemaah, bersila dengan susila. Itu pesan abah waktu saya kecil (dan nakal) dahulu.


Apa pun, malam pertama terawih memang manis. Seolah-olah kembali ke taman yang pernah kita kunjung. Pernah kita kenal semerbak segenap kuntum bunga. Pernah kita tenang pada teduh dahan merimbun. Pernah kita meletus syukur seiring ciap burung.

Tahun ini kita kembali ke taman ini. Ruang kecil dalam blog ini, Insha Allah, akan diabadikan nota-nota buat tatapan semua. Sementara itu, saya masih cuba memadam imej cencaru sambal dan daging goreng – hidangan sahur tadi. 


Selamat berpuasa.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com