cerita.

Masalah Penyampaian #1


Masalah penyampaian dalam debat biasanya dihadapi oleh pendebat-pendebat muda. Kadangkala, halangan yang sama juga dihadapi pendebat yang sudah lama di gelanggang.



Masalah penyampaian boleh berlaku dalam banyak bentuk. Ini saya tak perlu terangkan panjang-panjang. Anda semua pernah mengalaminya sendiri pada satu-satu ketika.



Paling lazim, pendebat menghadapi kesukaran menyampaikan ide dengan lancar. Tersekat-sekat. Berhenti dalam jeda masa yang panjang. Hilang perkataan.

Dengan mengenal pasti faktor berlakunya perkara-perkara di atas, para pendebat boleh mengambil beberapa inisiatif untuk membaiki mutu penyampaian.

1. Debat Bukan Karangan Lisan

Stigma paling utama dalam minda pendebat muda ialah debat perlu disampaikan dalam laras bahasa yang tepat dari aspek nahu dan pemilihan perkataan.

Hal ini benar, namun sekiranya terlalu diberi perhatian oleh pendebat, akan mengganggu kelancaran penyampaian.

Jangan lupa, debat merupakan sesi untuk berkongsi ide dan mesej dengan gaya dan persembahan yang paling mudah diterima audiens, terutamanya hakim.

Justeru, molek sekali sekiranya pendebat menenangkan perasaan, dan elakkan daripada membentuk bayangan ayat yang bakal disebut dalam minda.

Sebab? Bayangan ini boleh muncul dan lenyap dalam sekelip mata. Apabila hilang, ketika itulah kegugupan mengambil alih.

Sebaliknya, susun ide dalam minda seolah-olah cerita yang sekian lama disimpan, menanti masa untuk dikongsi bersama rakan sembang.

Berbuallah dengan audiens, cuma dalam lenggok bahasa yang sedikit teratur dan seragam daripada bahasa pasar, loghat, slanga, atau dialek.

Kemahiran membentuk ayat gramatis dengan kata-kata indah dan bombastik akan dibina perlahan-lahan selepas penguasaan penyampaian diperbaiki.

Usah jadikan proses menyusun kata diselangi kebimbangan melanggar tatabahasa sebagai penghalang untuk pendebat mempersembahkan penyampaian yang meyakinkan.

2. Semua Orang Gemuruh

Percayalah. Tidak ada orang yang tidak berasa gemuruh ketika tampil di hadapan khalayak untuk berbicara. Yang membezakan kita semua hanyalah kematangan dalam menanganinya.

Tidak ada jalan singkat untuk mengatasi rasa gemuruh. Pun begitu, debar dan gentar mampu dikurangkan perlahan-lahan dengan latihan debat yang kerap.

Buangkan jauh-jauh sangkaan ‘they are better than me‘. Sebaliknya, yakinlah bahawa ‘they were me once, and I’ll be them soon‘.

Sekiranya sesi latihan terlalu menduga dan anda tidak mampu berhadapan dengan siri tenungan jurulatih dan pendebat senior yang meragut yakin, cari kekuatan pada rakan anda.

Tenung mata sesiapa yang paling anda selesa dan percaya semasa berucap. Sekurang-kurangnya, teknik ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan rasa gemuruh.

Tarik nafas dalam-dalam dan cuba dengar suara anda sendiri. Biasanya rasa gemuruh akan meningkat apabila pendebat menumpukan perhatian pada bisik-bisik kecil dan pergerakan sekeliling berbanding ucapan sendiri.

Selebihnya, pendebat boleh cari petua mengelakkan gemuruh dalam mana-mana buku pengucapan awam. Saya kongsi sedikit saja.

© 2020 nizambakeri.com