cerita.

Lusuh

Kemaskini: 28 Dis 2019

Semalam saya pulang dari pejabat dengan perut yang sedikit berkeroncong.


Jadi saya singgah terlebih dahulu di 7-Eleven sebelum ke stesen LRT. Mi segera dalam cawan jadi pilihan.


Selesai isi air panas, saya sambung perjalanan. Tiba di satu simpang, saya dihampiri seorang pemuda. Congakan saya, mungkin awal 20-an.


“Abang orang mana?” soal pemuda itu sambil garu kepala. Tangan sebelah lagi memegang plastik yang terikat berisi minuman.


Simpati dan nafi berbaur dalam hati. Saya tahu dia mahu wang.


“Abang nak naik tren, dik. Dah lambat.”


Dia seluk kocek seluar dan mengeluarkan sekeping kertas lusuh yang telah dilipat berkali-kali.


“Ini repot saya bang. Beg hilang.”


Mata saya segera menikam ruang tarikh. Bukan kali pertama saya baca laporan polis.


2014. Laporan itu dibuat dua tahun lalu.


Malam semakin larut dan bahasa badan pemuda itu jelas menunjukkan dia sudah lesu dan barangkali kelaparan. Terserlah tubuhnya kedengking walau cuba dibalut kemeja dan jeans lebar nan kumal.


“Adik ambil ni,” saya hulur cawan mi segera yang masih tertutup dan belum terusik. Masih panas, barangkali.


Dia pantas beredar, mengambil tempat di hadapan pintu kedai yang terkatup, mencangkung, dan segera menggali isi cawan dengan garfu kecil.


Malam itu saya larut dalam simpati yang tidak putus.


Betapa besar peringatan Tuhan.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

Gadis nasi lemak dan lagu

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan. Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu ses

© 2020 nizambakeri.com