cerita.

Kispen 81: Rindu

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Mak, dah nak berbuka ni.” Adila separuh melaung dari dapur. Lengan bajunya masih tersingsing.


Dua-dua Abang suka, bisik hati Adila. Dia tak sabar menunggu senyum suaminya, Hatta, sesudah menjamu selera dengan juadah kegemaran.


Nik Leha tangguhkan kerja-kerja menjahit. Menantunya yang seorang ini rajin benar, bahkan cekatan di dapur.


Kalau dia yang memasak, Nik Leha biarkan saja. Adila biasanya enggan dibantu.


Tiba di dapur, Nik Leha tercengang merenung meja makan.


Lima kerusi, lima mangkuk berisi pengat pisang. Di tengah-tengah meja, sepinggan onde-onde yang diapit dua piring, masing-masing berisi sotong sumbat dan popia basah.


“Ala kadar, Mak.” Adila tersenyum, seraya menjemput Nik Leha duduk.


Nik Leha masih tercegat. Dia lantas memeluk Adila erat-erat dan menangis semahu-mahunya.


Di matanya masih terbayang tanah kubur anak dan dua cucu perempuannya yang masih merah. Kemalangan itu mengubah segalanya.

© 2020 nizambakeri.com