cerita.

Kispen 74: Ros

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Dapat lagi, Amrul?” Hariz ketawa besar sambil lintas kubikel teman pejabatnya.


Amrul buntu. Entah berapa kali kepala digaru. Setiap kali dia tiba di pejabat, pasti ada sekuntum ros putih di meja pejabatnya. Puas dia bertanya rakan-rakan, tiada yang mengaku.


Sudah hampir dua minggu begitu. Kalau anginnya baik, dia bawa pulang ros ke rumah.


Diletakkan dalam pasu kaca berisi air.


Kalau tidak, Amrul buang saja ros putih ke dalam bakul sampah.


“Nah, kopi.” Hariz kembali ke kubikel Amrul. Gelas merah dengan tulisan Nescafe bertukar tangan. “Kalau kau nak tau siapa yang bagi kau bunga ni, senang. Malam ni kau stay kat ofis. Tunggu sampai dia datang.”


Amrul terlongo. Ada juga benarnya. Lagi pun, dia sentiasa membawa pakaian lebih di dalam kereta.


Malam itu, Amrul menahan kantuk dengan menyemak kertas kerja dan mengisi beberapa borang penting. Malam berganti pagi. Tiada tanda sesiapa berkunjung.


Amrul terlena dalam gelita, yang tinggal cuma cahaya dari skrin komputer riba.


Waktu Amrul terjaga, ros putih terlayah tepat di depan mata. Namun kali ini dengan sekeping nota. Sambil menghalau kantuk, Amrul baca nota perlahan-lahan:


TERIMA KASIH. SAYA GEMBIRA SEPANJANG MALAM BERSAMA AWAK.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com