cerita.

Kispen 67: Tuah

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Kenapa Tuah? Masih teringat kampung halaman?” soal Profesor Adib.


“Tidak. Tidak.”


“Sabar, ya. Mesin ini saya akan baiki secepat mungkin. Baru Tuah boleh pulang semula ke Melaka.” Profesor Adib sibuk menekan seribu satu punat dan kekunci di panel kawalan mesin masa ciptaannya.


“Bukan. Bukan itu punca gelisah hamba.”


“Jadi?” 


“Sesudah matari tegak barang segalah tadi, hamba ke kota. Ada pun takjub hamba yang tak berkesudahan pada manusia zaman tuan hamba yang tekun benar tunduk sambil berjalan. Seolah tiada beringat-ingat, tiada hubaya-hubaya pada mereka akan barangkali merempuh tiang atau tersadung akar.”


Profesor Adib senyum simpul. Rajin Tuah ke kota.


“Akan jari-jemari mereka pula pantas menekan akan alat entah dari mana usulnya penuh warna-warna malah dihias pula rencam bunyi dan lukisan. Kecil, namun yang satu itulah dihadap manusia zaman tuan hamba saat makan, saat berkendera, malah ketika hamba berkemih di dalam tandas pun masih kedengaran bunyi dari alat ajaib itu.”


“Oh. Telefon.”


“Tiadakah lagi hidup manusia bergebang ria, tegur sapa sehingga ralit benar hamba melihat mereka seolah-olah menjadi sembahan pula alat ajaib itu?”


“Diorang main Twitter, Tuah. Kau apa tau?” Isteri Profesor Adib, Syida muncul dari pintu belakang bengkel dengan dulang berisi dua gelas teh o ais dan keropok lekor.


Sesudah meletakkan dulang di meja, Syida capai iPhone dari dalam kocek apronnya. Dia menaip di ruang kosong untuk tweet terbaru:


Letih aku nak dengar Hang Tuah membebel. Ish.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com