cerita.

Kispen 66: Syurga

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi.”


Liuk lentuk para pengikut Umarul Yaqeen belum berhenti. Walau dentang bandul jam tua di penjuru anjung sudah bergema dua kali, tanda jam 2:00 pagi – mereka masih beratib. Ini amalan biasa hujung minggu. Ratib nama Pak Umar sampai terlena, sampai hilang tenaga.


Esok pagi menjelma, tambah saham ke syurga.


Saat mentari terik, para pengikut di anjung rumah agam milik Umarul Yaqeen mula terjaga.


Masing-masing menggeliat sambil membetulkan urat sendi nan berselirat.


“Dah bangun semua?” Umarul Yaqeen tampil di pintu utama. Jubah rona merah labuh hingga ke buku lali. 


“Dah, Sheikh Umar!” sekalian pengikut serentak menyahut.


Umarul Yaqeen tepuk tangan tiga kali. Dari pintu utama, dua orang pengikut sorong troli lasak berisi peti kaca Plexiglass sebesar peti aiskrim kedai runcit yang sarat berisi wang.


“Kamu semua nampak ni?” soal Umarul Yaqeen.


“Nampak, Sheikh Umar!”


“Ini semua taruhan kamu pada Umarul Yaqeen. Pada syurga! Lebih banyak, lebih mudah kamu bertemu bidadari dan emas permata. Siapa aku?” Umarul Yaqeen mendongak.


Tongkat kayu lurusnya ditujah ke udara.


“Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi. Sheikh Umar Imam Mahdi.”


“Ini pertaruhan pasti untung. Ini judi kaya melambung.” Suara Umarul Yaqeen lebih lantang.


“Kalau begitu, aku mahu terus ke syurga.” Dato’ Ahmaq bingkas berdiri dan mara ke arah peti kaca. Dia seluk kocek, di tangannya dompet dan buku cek.


“Ambil semua, ambil.” Air liur berjujuh dari bibir Dato’ Ahmaq saat dia sumbat kepingan wang RM50 ke dalam peti kaca. Pengikut lain terlongo. Terlalu banyak. Pertaruhan begini, pasti Dato’ Ahmaq ke lapis syurga tertinggi.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com