cerita.

Kispen 52: Buku

Kemaskini: 29 Dis 2019

Perpustakaan sarat buku, lengang manusia. Hanya dua meja terisi dengan lembar-lembar nota milik para gadis bertudung ala Tajima atau Yuna. Semua ralit bergebang ketika Irwan masuk.


Irwan terus ke celah rak-rak buku. Dia mahu cari aksara, bukan maskara. Tiba di rak terhujung, dia lihat seorang lelaki tua sandar tubuh pada rak. Janggutnya basah serap air mata sedu-sedan.


“Kenapa pakcik?” Irwan melutut di sisi lelaki tua. 


“Aku cari buku. Tak jumpa.”


“Biar saya tolong. Pakcik tahu nama pengarang dan judulnya?”


“Puisi Isi, pengarangnya Jal Utama.”


“Pakcik tunggu sini.”


Irwan dapatkan komputer perpustakaan paling hampir. Judul dan nama pengarang ditaip dalam ruang carian. Nombor siri buku disalin. Irwan kembali ke lajur rak buku. Lelaki tua sudah tiada.


Ah, biarkanlah. Mungkin dia ke tandas. Irwan teliti nombor siri rak demi rak. Akhirnya yang dicari ketemu. Naskhah Puisi Isi di tangannya. Irwan selak rambang. Di muka surat 27, dia berhenti. Ada sekeping nota terselit.


“Giliranmu hampir tiba.”


Irwan kaget. Giliran apa? Dia belek kulit belakang. Wajah Jal Utama terpampang. Mirip sekali lelaki tua tadi. Ruang biodata tercatat: Jal Utama (1927 – 1991)


Tangan Irwan kejur. Buku jatuh ke lantai. Sayup terdengar hilai gadis, diselangi degup jantungnya. Makin deras.

© 2020 nizambakeri.com