cerita.

Kispen 49: Gagak

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Betul?” Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng.


“Betul,” sambut Gagak Segak, “manusia memang semuanya begitu. Mereka pandang hina pada kita sekalian haiwan. Sekali pun yang elok rupanya seperti kita.”


Gagak Tempang garu kepak dengan paruh, “Ah, kenapa kau mesti begitu buruk sangka? Bukankah mereka jua yang memperjuangkan nasib kita?”


“Ha ha ha,” Gagak Segak jeling sinis, “kau ini bahlul, Tempang. Biar aku tunjuk bukti paling mudah pada kau.”


“Betul?” Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng. 


“Ya, kau akan lihat bahawa manusia semuanya pembenci dan penyebar maki.”


“Bagaimana?” Gagak Tempang separuh peduli.


Gagak Segak engsot ke hujung dahan. “Kau nampak manusia yang berjalan-jalan di bawah pohon tempat kita bertenggek?”


Dua rakannya mengangguk.


“Cuba kau teran dan curu tinjamu yang paling haring, paling kohong. Biar leleh dener tahi gagak di kepala mereka. Bahu pun elok juga. Lihat apa balasan mereka.”


“Betul?” Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng.


Gagak Segak mula dahulu. Tinjanya tepat timpa ubun-ubun seorang eksekutif muda lengkap bersut dan bertali leher. Serta-merta beg bimbitnya jatuh.


“Fucking idiot! Damn you stupid bird!”


Gagak Segak tertawa besar. “Lihat? Terbukti bukan?”


Gagak Juling ambil giliran. Dia teran penuh tumpu. Kali ini mengena bahu remaja berbaju T gambar tengkorak dan jean carik.


“Babi! Celaka punya gagak!”


“Apa pendapatmu, Tempang?” Gagak Segak senyum bongkak.


“Aku masih percaya masih ada manusia yang suci hati. Aku berani buktikan.” Gagak Kacak pejam mata dan lepaskan tinja. Mangsa seterusnya, lelaki tua tempang berpelikat dan kot usang kelabu.


Sunyi.


“Nah, Segak? Apa kata kau sekarang? Dia hanya ambil sapu tangan dalam ko…”


Degam!


Tubuh Gagak Tempang luruh ke bumi. Lelaki tua simpan semula pistol dalam kot usang kelabu dan berlalu.


“Tempang sudah mati, Juling.” Segak tunduk hiba.


“Betul?” Soal Gagak Juling. Kepalanya teroleng-oleng.

© 2020 nizambakeri.com