cerita.

Kispen 47: Anak

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Ini saja yang ada, Hasnah.” Mangkuk kaca berisi rendang ayam kampung bertukar tangan.


“Eh, tak apa la. Akak datang ni pun saya dah rasa seronok sangat.”


“Akak memang selalu macam ni. Kalau ada orang baru di kawasan ni, akak datang. Jiran, kena la berkenal-kenal.”


“Betul, betul,” Hasnah mencuit paha Sufiya, “akak nak minum apa ni?”


“Nanti la dulu. Kita sembang-sembang.” Mata Sufiya terpaku pada gambar di rak televisyen. Seorang gadis berkaca mata bingkai tebal tersenyum sambil memeluk Hasnah. Hujung lidah dijelir manja.


“Anak kamu tu, Hasnah?” 


“Ya. Ika, tengah tunggu result SPM. Dia tak ada di rumah sekarang. Tidur di rumah makciknya. Ramai sepupu di sana. Katanya bosan di rumah.”


Sebelum sempat Sufiya membuka mulut, tangis bayi pecah dari tingkat atas. Hasnah meluru ke arah tangga.


“Maaf, kak. Si kecil ni baru terjaga.” Hasnah menuruni tangga perlahan-lahan.


“Dah puas tidur agaknya. Adiknya si Ika la ni, berapa bulan?”


“Eh, bukan. Ini anaknya.” Hasnah tenang melabuhkan punggung pada sofa sambil memangku Nur.


Sufiya kaget dan cuba untuk senyum. Lidahnya kelu.

© 2020 nizambakeri.com