cerita.

Kispen 43: Tumpah Kuah

Kemaskini: 29 Dis 2019

Bacaan ayat-ayat suci mengisi setiap bucu dinding rumah Awang Leh. Dia bersila kemas sambil mata terpejam rapat-rapat. Yang mana dihafal, semua dihambur.


Menantunya, Siti Kamilah, pulang ke pangkuan Maha Besar pagi tadi. Sudah ajal.


Pagi itu hening seperti biasa. Awang Leh baru pulang menoreh saat aroma ikan tamban digoreng menujah hidungnya.


Milah memang suka berpagi-pagi setiap kali pulang ke kampung. Tanak ubi dan goreng ikan tamban. Kelapa pun diparutnya sendiri.


Saat Milah bertempik, Awang Leh masih sibuk menyelia pisau toreh yang disusun rapi di pangkin belakang rumah.


“Milah!” 


Saat itu barulah Murad terjaga. Dia meluru menuju dapur. Isterinya sudah terlentang di tangga. Kolam darah di kepala.


Bacaan ayat-ayat suci mengisi setiap bucu dinding rumah Awang Leh. Murad mundar-mandir di ruang tamu.


Jemaah wanita yang masih setia mengalunkan pesan Tuhan sekali-sekala menjeling ke arah Murad. Semua tahu sebabnya.


“Apa punya anak,” Murad membentak, “maknya dah tak ada pun tak tahu nak balik.”


Serta-merta Awang Leh menoleh ke belakang seraya membelingas. Matanya menikam wajah Murad lama-lama.


“Kau pun begitu dulu, Murad. Kau lupa? Sudah, temankan arwah di sini. Aku nak jumpa Imam Mat di masjid.”


Bacaan ayat-ayat suci mengisi setiap bucu dinding rumah Awang Leh.

© 2020 nizambakeri.com