cerita.

Kispen 41: Syair

Kemaskini: 29 Dis 2019

Hasem Jailani berdehem. Tekaknya masih kering walau sudah dua gelas air direguk. Dia kembali menghadap khalayak. Masing-masing masih ternganga, menunggu rangkap seterusnya.


Usahlah tuan mengundi mereka Sungguh itulah puak celaka Dituduhnya kalian bangsa derhaka Bukankah fitnah hukumnya neraka?


Tepuk sorak bersambut sahut. 


Nampaknya mereka menggemari peraturan kempen pilihan raya yang baru diperkenalkan di negara itu.


Konon demi santun dan budi. Tidak dibenarkan lagi hamun dan keji. Kalau mahu buat rapat umum, hanya lagu dan syair yang dibenarkan.


Di seberang jalan, Fazrul Haqq mendengar patah demi patah syair Hasem. Pembesar suara, walau sudah tua, masih berbekas bingitnya.


Lihatlah tabiat seberang sana Menghukum ibarat Syeikh sarjana Pantang ada berbeza wacana Terus dihenyak diludah hina.


Tepuk sorak bersambut sahut. Air liur tanpa sedar berjujuh. Mereka mahu lagi.


Hasem pun mendengar sayup-sayup syair Fazrul. Mesti balas.


Inilah contoh manusia bahlul Seisi parti semuanya tolol Siang malam harta disondol Hutan dan wang semua digomol.


Fazrul:

Setakat liur semua boleh Usah berpura bertopeng soleh Cubalah sekali kita berkalih Di puncak kuasa kalian pun leleh.


Hasem:

Bukan semua setamak kalian Perangai tak ubah persis Mat Gian Menagih najis harap kesian Ini bukan harta bunian.


Fazrul:

Inikah calon yang mahu diundi Akalnya hilang tersekat di pundi Hulur kepala andainya sudi Kubuang benak dengan gerudi.


Malam itu tiada siapa yang sedar tamatnya ceramah dua calon, ceramah Hasem dan Fazrul.


Masing-masing mabuk dan menggelinjang dalam limpahan carut dan nista. Tepuk sorak bersambut sahut.


Sekali carut, sekali loncat – bak beruk dalam sangkar sarkas. Yang penting ada pisang. Sekali carut, sekali loncat.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com