cerita.

Kispen 38: Paling Tinggi

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Sudah tentulah bangunan di negara saya. Bangunan Empayar Negara. Seratus tingkat. Gilang-gemilang mencakar langit.” Presiden Negara A mendabik dada.


“Mana boleh, di negara saya lebih tinggi. Puncak Agung Mutlak. Seratus lima tingkat, tahu? Siapa terpandang, pasti ternganga.” Kembang kempis lubang hidung Perdana Menteri Negara B.


“Seratus lima? Ha ha ha.” Sultan Negara C terbahak-bahak. “Negaraku, seratus sembilan tingkat. Menara An-Nur. Naik tingkat paling tinggi, boleh dicedok air hujan dari awan gemawan.”


Hanya ketua negara itu yang masih terdiam, mengulum senyum.


“Bagaimana denganmu?” Tanya Sultan Negara C. 


“Aku,” ketua negara itu menggaru punggung, “paling tinggilah.”


“Berapa tingkat?”


“Seratus sembilan.”


“Ha ha, kau buta kira-kira, ya? Itu sama dengan Menara An-Nur milikku.”


“Oh ya,” ketua negara itu menghidu jari tengahnya, “sebenarnya seratus sepuluh. Tapi tingkat paling atas itu tak terlihat dek mata manusia biasa. Maklum, mencecah alam bunian.”


Sultan Negara C meraba-raba kocek seluar. Mana telefon aku? Perlu telefon Menteri Wang dan Hasil Mahsul. Mesti buat yang lebih tinggi.


Oh, telefon Presiden Gabungan Dukun juga. Mana tahu kalau-kalau dia boleh buat kontrak dengan bunian.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com