cerita.

Kispen 30: Kata

Kemaskini: 29 Dis 2019

Awak dapat mesej saya?


Dapat. Ada dalam beg ni. Saya bawa.


Bagus, bagus. Razali datang sekali tak?


Datang rasanya. Saya dah beritahu dia semalam.


Pembesar suara tren bersipongang.


Abdullah Hukum.


Manusia rusuh keluar masuk. Pagi hujung minggu. Masih belum sesak. Masih belum tengik.


Cantik. Saya suka awak pakai baju merah.


Terima kasih. Baju ni arwah mak yang jahit. Dia kata, dia suka gaya kebaya dengan jeans. 


Sampai nanti, kita makan dululah, ya? 


Saya ikut saja. Di mana?


Kita pilih di sana. Kita makan dengan Razali sekali.


Tak nak. Kita berdua sajalah. Awak ni tak romantik langsung. Razali boleh tunggu.


Bangsar. Hanya enam orang yang masuk ke koc itu. Antaranya, seorang wanita separuh abad dengan sejambak ros putih di tangan kanan. Kiri menggenggam buku Sudoku. Di muka surat entah keberapa, terselit sebatang pensel. Tiada yang keluar. Pagi hujung minggu.


Masih belum sesak. Masih ramai nyenyak.


Yalah. Kita berdua. Saya acah saja. Manjanya, bergurau sikit pun tak boleh?


Zira jelir sedikit sambil kepala digoyang-goyang. Dia tahu Raqib memang suka mengusik. Sebab itu jugalah hatinya tertawan. Dia tahu, Razali kadang-kadang cemburu.


Perasan tak, budak di sebelah awak ni, dari tadi asyik pandang awak. Dia suka tengok kebaya awak, agaknya.


Taklah. Dia tengok kita. Abang hip-hop depan kita ni pun sama.


Zira dan Raqib bertukar senyum. Mereka sudah mangli ditenung begitu. Mereka tidak peduli. Mereka bahagia begini. Dunia sentiasa tenang dan sunyi. Selang-seli hayun tangan, tari jemari, dan riak wajah; kesemuanya tidak pernah mengganggu sesiapa.


KL Sentral.


Pintu tren ternganga. Raqib menggenggam tangan Zira lantas beriringan keluar.

© 2020 nizambakeri.com