cerita.

Kispen 25: Tinja

Kemaskini: 29 Dis 2019

Di negara itu, suasana aman damai. Tiada gaduh. Tiada rusuh. Tiada siapa yang bermusuh. Sekalian jelata taat patuh. Walau susah tiada mengeluh. Gelas sentiasa separuh penuh.


Yang resah dan gelisah hanya politikawan. Tiada isu. Kering modal. Sunyi sepi. Bagaimana mahu beli undi? Bagaimana mahu main momok?


Sehinggalah takdir Tuhan Maha Kuasa, tanpa disangka, setompok tinja lembu bertimpuh sopan di tengah-tengah jalan masuk ke Dewan Politikawan.


Maka bersorak-sorailah sekalian politikawan. Tiga hari, tiga malam di Dewan Politikawan, tiada lain yang dibincangkan melainkan tinja itu jualah.


“Bentuk tinja itu betul-betul bujur telur. Ini penghinaan pada parti kami. Sebab logo kami bujur telur. Musuh politik sudah main kotor!”

“Komponen tinja itu dilihat lebih banyak kandungan serat tak terhadam. Kerajaan tak buat kerja. Lembu tak cukup makan.”


“Hadirnya tinja dalam perjalanan kita ke sini merupakan simbolik macapada ini yang menjanjikan kenistaan pada susuk yang tak ketahuan dalam meniti buih-buih pancaroba materi yang fana lagi penuh noda-noda nihilisme dan hedonisme.”


“Kalau dah namanya bodoh, herdik sedikit memang keluar tinja dari lubang dubur. Haha. Bodoh. Mulut kau pun bau macam tinja. Haha. Celaka.”


Berbondong-bondong jurukamera dan wartawan datang mengambil gambar tinja dari dekat. Lalat langau menahan silau denyar kamera.


Esok tinja lembu itu masuk muka hadapan. Di saluran video atas talian, debat tinja lembu jadi tontonan dunia. Semua ketawa dan ditertawakan.


Rakyat pun ketawa.


Di negara itu, suasana aman damai. Politikawan menunggu tinja seterusnya.

© 2020 nizambakeri.com