cerita.

Kispen 21: 1 Syawal 1531H

Kemaskini: 29 Dis 2019

Hari ini, Menteri Perdana negara itu buat rumah terbuka macam biasa. Seisi negara dijemput bertandang. Ramai, malah terlalu ramai yang hadir.


Robot-robot penyajian dicaj bergilir-gilir. Tak menang tangan melayan nafsu makan jelata.


Makin lama makin sesak.

Menteri Perdana memandang dari anjung rumah kediaman rasmi. Rakyat berhimpit-himpit di khemah makanan.


“Tuan Cadang Pandang, mengapa terlalu ramai rakyat yang datang? Bukankah selalunya hanya orang kota, pekerja asing, dan pelancong tak ketahuan sahaja yang singgah?”


Menteri Perdana kerut dahi. 


Tuan Cadang Pandang, penasihat Menteri Perdana paling kanan, tersenyum simpul. Patutlah manusia ini perlu ramai penasihat, bisiknya.


“Yang Mulia Lagi Dimuliakan sudah lupa bahawa Yang Mulia sudah memodenkan negara ini semoden-modennya? Mana ada lagi kampung? Mereka sudah mual bersesak di jalan raya.


Balik tempat asal, ada kompleks beli-belah agam juga. Menara sana-sini juga. Kondominium juga.”


Tuan Cadang Pandang hirup sirap dari gelas tinggi di tangan.


“Mana ada lagi pohon-pohon hijau? Mana ada lagi lorong-lorong kecil berbata merah? Mana ada lagi hambat ayam dan kacau dodol? Mana ada lagi rumah papan? Sudah tidak ada balik kampung, Yang Mulia. Frasa balik kampung pun cuma ada dalam buku teks sejarah sahaja. Sekarang, semua metropolis!”


Menteri Perdana angguk, tanda bangga.


Di khemah penyajian, robot-robot masih tekun mencedok juadah. Rakyat bertolak-tolak mahu makan.


Di negara itu hanya tinggal satu saja kampung. Kampung Asal Wira. Tempat lahir Menteri Perdana. Diwartakan sebagai Kawasan Warisan Agung Kebangsaan Zaman-Berzaman.


Dua pohon rambutan. Laman sekangkang kera. Sebuah rumah papan.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com