cerita.

Kispen 150: Riba

Kemaskini: 28 Dis 2019

“Ahhh!”


Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi.


Kesemua jururawat membisu. Kaku. Begitu juga dua orang doktor pelatih yang masih berdiri di sisi pesakit, terutamanya yang mengumumkan waktu kematian tadi. Wajahnya pucat sekali. Dia tidak pernah melihat amukan pakar bedah.


Sehinggalah malam ini.


“Kenapa kau buat macam ni? Aku tak boleh lawan Kau,” Dr Syarif bersandar di dinding sambil mendongak dan menutup mata.


Dalam tempoh dua minggu, ini pembedahan ketiganya yang gagal.


“Keluar. Semua keluar!” 


Di hospital ini tidak ada sesiapa yang berani bersemuka dengan Dr Syarif andai dia mula dirasuk amarah. Dia bahkan masyhur dalam kalangan pelajar perubatan dan doktor pelatih sebagai The Death.


Berhadapan dengan amarahnya setaraf bertemu maut.


Kesemua yang hadir di dewan bedah mula berjalan keluar dan meninggalkan Dr Syarif yang kini merenung dinding seolah-olah menekuni garis darah yang terpercik dari pisau yang dilontar tadi.


Tiba di rumah, Dr Syarif semerta mendapatkan isteri yang menanti di sofa ruang tamu.


“Kenapa Dia tak bagi saya buat kerja saya? Apa salah saya?”


Ubun-ubun Dr Syarif dielus dan dikucup isterinya yang kemudian tenang bersuara:


“Ajal pesakit abang sudah tiba. Dia mahu doktor terbaik menemani hamba-Nya pada saat-saat akhir kehidupan. Dia pilih abang.”


Dan di ribaan isteri, Dr Syarif menangis semahu-mahunya.

© 2020 nizambakeri.com