cerita.

Kispen 15: Nang Awi

Kemaskini: 29 Dis 2019

Petang itu manusia kembali sesak di pasar Melaka. Kumpul ramai-ramai. Dengar ramai-ramai. Konon di pasar muncul seorang pemuda kerjanya tiada lain, hanyasanya mengeji dan mencarut.


Di tengah-tengah alir manusia sibuk menjengah dan memunggah barang jual beli, pemuda itu menimbunkan tanah sehasta tinggi agar tampak dirinya pada semua.


Pemuda itu berdiri di atas timbun tanah yang dipadat-padat, bagai peteranalah layaknya dalam fikir beliau. Tiga orang budak pegun di hadapan sambil menunjal timbun tanah.


Dengar sini jangan buat tuli Aku nak cerita orang yang kubenci Ramai perangai bagai babi Sudahlah bebal berlagak bestari


Dua orang wanita separuh usia membetulkan kelubung batik sambil menggeleng-geleng kepala. Tangan anak diheret perlahan.


Gila. 


Masih ramai yang berkerumun menunggu hamun.


Dengan siapa ibumu berkapuk Mani dikandung keluar beruk Di rumah malas terhangguk-hangguk Di pasar Portugis girang merampok


“Diamlah, bangsat!” Jemang, penjual ikan, menghanding seekor selar kuning ke muka pemuda itu namun sempat dielak. Kecai selar kuning menabrak tiang pangkin.


Pemuda itu turun dari timbunan tanah dan berlalu. Seisi pasar mengerling tajam dan berbisik-bisik. Ada juga yang melaung membalas carut dari jauh.


Malam itu, beberapa ketua keluarga dan orang-orang muda berhimpun di rumah Penghulu Kamis. Mereka sudah tidak tahan.


“Datuk Penghulu, kita tangkap saja budak…apa namanya?” Lebai Mahmat mencuit lutut Kersani.


“Nang Awi.” Sambut Kersani.


“Ah, ya. Nang Awi. Tangkap saja,” Lebai Mahmat mengawal amarah, “kemudian humban dalam penjara! Sampai bila kita mahu biar anak-anak ke pasar dan dengar orang mencarut?”


“Erm, maaf ya Lebai. Saya rasa tak patut begitu. Kita semua ni, Lebai barangkali tidaklah, kadangkala terlepas juga yang kasar dan kesat. Kalau ikut hukum Lebai, sesak pula penjara Melaka menanggung pencarut. Bukan begitu?” Dolah senyum sinis.


“Tapi kau tak memanggil orang di pasar mendengar carutanmu, bukan?” Lebai Mahmat mencabar.


“Ada benarnya kata Dolah,” sampuk Senayan, “lagipun kalau kita mahu tangkap Nang Awi, kanun mana mahu kita guna? Titah Sultan? Lagipun Nang Awi itu beri nasihat. Kasar memanglah kasar, namun siapa makan lada, nah tanggunglah pedas.”


“Habis, siapa tak makan lada, tanggung apa? Tanggung aib? Tanggung dosa? Tanggung seksa?” suara Lebai Mahmat makin nyaring.


“Tuan-tuan, sudahlah. Kita datang untuk berbincang, bukan urat leher ditegang-tegang.” Perlahan sekali suara Penghulu Kamis, namun tetap diakur dengar.


“Cadangan saya begini. Esok saya akan ke pasar, tuan-tuan boleh ikut andai tiada aral. Kita beri amaran pada Nang Awi. Katakan padanya kalau mahu beri nasihat, ini bukan jalannya. Kalau dia masih berdegil, kita tangkap. Biar orang-orang yang jaga kanun mendakwanya. Mereka lebih arif.”


Semua angguk.


Pagi menjelang. Seperti biasa, Nang Awi sudah tercegat di pentas khayal. Masih banyak lagi bait-bait kotor yang perlu dihambur.


Siapa yang bikin Melaka kaya Kalian tertunggit cuma sahaya Kerabat mengaut harta sedunia Tak kusangka baghalnya manusia


Nang Awi terkernyih. Makin ramai yang datang. Inilah peluang.


Kalau dibanding panjang zak—


Nang Awi tiba-tiba rebah melutut. Sekali batuk. Dua kali batuk. Nang Awi picit kepala dan kembali berdiri dan sambung lagi.


K—


Sunyi. Tegang urat leher Nang Awi berteriak tempik. Sunyi. Seisi pasar terlongo. Nang Awi nganga luas-luas. Jerit. Sunyi.


Sekali batuk. Dua kali jeluak. Tiba-tiba berenga memutih keluar dari bibir. Yang hampir dengan timbunan tanah Nang Awi lari bertempiaran.


Nang Awi menggeleser. Jari-jemari bergetar. Berenga terus membuak merayap di leher, dada, dan perutnya. Dada naik turun deras.


Penghulu Kamis baru tiba bersama Lebai Mahmat. Geleng kepala. Jemang senyum sambil siang lolong.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com