cerita.

Kispen 146: Tangkap

Kemaskini: 28 Dis 2019

“Awak ingat saya bodoh ya?” kali ini suara Pengetua lebih keras.


Tiga pelajar di hadapannya masih membisu.


Naufal, ketua pengawas yang masih rapi rambutnya disisir ke belakang, terima kasih pada gel yang menukar rambut menjadi bilah hitam nan kejur.


Firdaus, pemuda gempal yang kelihatan terpinga-pinga sambil mengancing semula butang seragam putih yang sudah entah berapa kali terbuka ditujah perut bocah.


Syifa, gadis nakal berbahu lebar tenang mengunyah gula-gula getah sambil mendengar single terbaharu Panic! At The Disco yang disiar dari fon telinga yang terselindung di sebalik tudung.


“Saya tanya sekali lagi, siapa pecah masuk bilik saya? Curi barang-barang saya?”


Tiga pelajar itu masih membisu.


Naufal dipanggil kerana dia pernah membantu Pengetua menempah kunci pendua pejabatnya bulan lalu.


Firdaus diarah masuk kerana beberapa orang warden memberitahu Pengetua dia mahir dengan kunci. Sudah beberapa kali dia membantu warga asrama membuka pintu yang terkunci dari dalam.


Syifa? Kerana rekod disiplinnya lebih tebal berbanding buku latihan yang pernah dihantar kepada para guru.


“Awak jangan main-main dengan saya. Saya dah jumpa cap jari pada laci. Sekejap lagi polis sampai, awak semua jawablah sendiri sebelum masuk penjara. Kalau awak mengaku sekarang, saya boleh beritahu polis hal ini sudah selesai.”


Tiga pelajar itu masih membisu.


Mereka dapat melihat peluh yang semakin sarat membintil di dahi Pengetua.


Ketika itu mereka sedar, tidak ada cap jari yang ditemukan.


Pengetua cuma menggertak.


Menurut kisah Pengetua yang sudah tersebar di seluruh sekolah, dia tiba paling awal di pejabat dan mendapati pintu biliknya terbuka. 


Kesemua laci digeledah. Komputer riba dicuri. Dua peti simpanan berisi wang tunai hasil kutipan Pesta Sukan yang masih belum sempat dimasukkan ke bank turut lenyap.

Pintu bilik Pengetua diketuk.


“Ah, polis dah sampai.”


Tiga pelajar saling berpandangan.


“Tuan Pengetua boleh ikut saya. Yang lain, anggota saya akan uruskan.”


Pengetua berjalan keluar dari bilik bersama pegawai polis.


Naufal, Firdaus, dan Syifa tidak jauh di belakang, diiringi beberapa anggota polis.


Mereka melintasi dewan besar sekolah.


“Kita singgah sini sekejap,” arah pegawai polis.


Pintu dewan besar dibuka. Pegawai polis mengarahkan Naufal, Firdaus, dan Syifa masuk terlebih dahulu.


Ketika itulah Tuan Pengetua terdengar bunyi sepasang gari ditarik dari pinggang pegawai polis.


Gari yang serta-merta memberkas Tuan Pengetua.


“Jalan.”


Tuan Pengetua mahu membantah namun dia tahu semuanya terlewat apabila disambut dengan herdik hamun maha lantang yang berbaur dengan tepukan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dewan besar.


Di pentas, layar besar menayangkan rakaman video peribadi Tuan Pengetua di pejabatnya bersama dengan seorang pelajar lelaki yang diikat di kerusi.


Sambil menghidu rambut pelajar itu, Tuan Pengetua bersuara. Suara yang kini bergema di seluruh dewan:


“Lebih baik kau ikut cakap aku. Kalau kau tak ikut, aku akan buat kes kau jadi lagi besar. Buang sekolah, masuk sekolah budak jahat. Kau nak macam tu?”


Tayangan video itu terhenti sebaik sahaja terpapar Tuan Pengetua yang merayapkan tangannya di seluruh tubuh pelajar lelaki itu.


Naufal, Firdaus, dan Syifa muncul dari belakang layar.


Seisi dewan bertepuk gemuruh.

© 2020 nizambakeri.com