cerita.

Kispen 139: Jumpa

Kemaskini: 28 Dis 2019

Osman mengalih pandang ke setiap sudut kamar. Sekali-kala anak matanya terarah ke siling. Jari pantas menari di paha. Entah berapa kali dia mengalih punggung di sofa.


“Sabi, awak sayang saya tak?”


“Ya. Sayang. Saya sayang semua patient saya kat sini,” Sabihah tersenyum dan geleng kepala sambil renung skrin komputer. Jari pantas menari di papan kekunci.


Cuma Osman yang panggil dia ‘Sabi’ di sini.


“Kan saya dah cakap, saya bukan patient awak. Saya, boyfriend awak,” Osman ketawa terkekek-kekek. Kini dia berbaring sambil kaki dilonjak ke udara, digerakkan seolah mengayuh basikal ghaib.


Sabihah terpaksa menghentikan kerja. Dia tahu, kalau dibiarkan, pesakitnya yang seorang ini akan lebih meliar.


Biasanya Osman bermula dengan rayu nan membujuk. Mata bundar bercahaya, menambah seri peroman tampan.


Meja kerja ditinggalkan. Sabihah duduk di sofa bertentangan. Osman masih berbaring. Sekali-sekala dia mengenyit mata pada Sabihah.


“Awak ikut Lidya ya? Jangan lupa makan ubat,” Sabihah mengalih pandang ke arah Lidya, jururawat yang sepanjang sesi pemeriksaan tadi setia menunggu di hujung kamar. Sejurus doktor itu mengangguk, Lidya mara mendapatkan Osman.


“Terima kasih, sayang. Jumpa lagi,” Osman masih ketawa ketika dia berjalan keluar diiring Lidya. Beberapa kali dia menoleh ke belakang dan melambai-lambai ke arah Sabihah yang tercegat di sebelah sofa.


Menggoda. Sungguh menggoda. Namun apabila psikosis menyerang, tampan Osman sirna. Dia akan mula meraung rawak dan marah-marah.


Mama mana? Mana dia? Kenapa dia letak aku kat sini?


Itulah soalan yang sentiasa ditanya Osman sambil dia menumbuk dinding. Kalau ada jururawat atau atendan yang cuba menenangkan, dia jadi lebih ganas. Satu-satunya yang menenangkan Osman – pujukan Sabihah.


Sebab itu Sabihah tiada pilihan. Setiap kali episod psikosis Osman bermula, dia akan dipanggil untuk menenangkan keadaan. Osman akan perlahan-lahan tenang selepas dipujuk Sabihah, kemudian menangis. Jika Sabihah tidak bertugas, terpaksalah beberapa atendan bergusti terlebih dahulu dengan Osman sebelum ubat penenang disuntik.


“Saya dengar awak ada boyfriend baru ya, Dr Sabihah?”


Itu soalan Dr Vivian ketika mesyuarat bulanan Unit Psikiatri Rumah Seri Memori berlangsung minggu lalu. Malu besar Sabihah dibuatnya. Ketika itulah dia sedar kisah Sabihah-Osman ini sudah sampai ke telinga bosnya dan bukan lagi jadi perbualan antara jururawat atau staf Rumah Seri Memori.


“Mana ada. Itu semua mengarut,” ujar Sabihah sambil tersengih selamba. Pendakap gigi yang dijalin wayar merah jambu terserlah.


“Dia tu pesakit. Awak pun tahu peraturan kita kan? Mana boleh ada relationship dengan pesakit. He’s unstable. Of all people, you should know better.”


“Saya faham. Saya akan jaga semua tu. I’m a professional. Macam Dr Vivian juga.”


Selepas perbualan itu, malangnya, keletah dan karenah Osman tidak pernah surut. Walau sudah diberikan rawatan yang mencukupi mengikut jadual, dia masih tetap nakal dan sering menggoda Sabihah. Dia selalu mengingatkan Sabihah bahawa dia tidak gila dan dia berada di unit psikiatri itu atas kehendak ibunya.


Pernah juga dia berdiri di atas meja di dewan makan dan menyanyikan lagu hari jadi kepada Sabihah. Sehingga hari ini, doktor muda itu tidak tahu bagaimana Osman memperoleh tarikh lahirnya.


“Kesian aku tengok budak tu. Baik, tapi tak sihat. Kau mesti tau apa jadi kat dia kan?”


Soalan Pak Tam, pemandu Rumah Seri Memori itu cuma disambut dengan senyuman.


Sabihah tidak boleh berkongsi maklumat peribadi pesakit dengan sesiapa. Dia tahu Pak Tam maklum hal itu. Cuma lelaki separuh abad itu ingin berkongsi rasa.


Sudah tentu dia tahu apa yang telah berlaku.


Kedatangan keluarga Adila, tunangan Osman, pada malam itu mengubah hidupnya selama-lamanya. Dia langsung tidak percaya manusia yang paling disayangi tergamak mungkir janji begitu saja. Keluarga Adila cuma beri satu alasan. Adila mahu putuskan pertunangan kerana dia sedar hubungan itu satu kesilapan.


Itu saja? Alasan gila apakah itu?


Selepas itu Osman berkurung di kamar. Lebih seminggu dia murung. Dia cuma keluar untuk makan. Selesai jamah sekeping roti dan segelas air suam, dia akan kembali semula mengasingkan diri.


Kadangkala ibu Osman mendengar anak lelaki tunggalnya meraung dan menangis.


Sehinggalah pada suatu hari, ibunya menemui Osman yang terlentang di lantai dengan pergelangan tangan berlumur darah.


Dia mahu Osman kembali pulih dan gembira. Dia mahu Osman kembali sediakala. Sebab itu Osman dihantar ke Unit Psikiatri Rumah Seri Memori.


“Dr Sabihah,” sapaan jururawat mematikan lamunan.


“Ya Lidya? Ada apa?”


“Osman.”


“Aduh, apa lagi?”


“Saya dah hantar ke bilik. Tapi dia tak nak makan ubat. Saya tak nak panggil atendan lelaki sebab Osman nampak macam letih. Kesian pula kalau paksa dia nanti,” Lidya tampak gelisah.


“Tak apalah. Saya pergi tengok dia.”


Tiba di kamar Osman, Sabihah terlihat lelaki itu terbaring tenang di katil sambil memandang ke arahnya. Senyumannya tidak pernah gagal menambat hati.


Kalaulah dia bukan pesakit di sini. Kalaulah.


“Sabi buat apa datang sini?” Osman tersenyum nakal.


“Ada orang cakap awak tak nak makan ubat,” Sabihah ambil tempat di kerusi bersebelahan katil Osman.


“Saya nak Sabi yang suapkan.”


“Jangan nak mengada-ngada. Nanti saya repot kat Dr Vivian, baru awak tau. Makan ubat tu. Kalau tak makan macam mana nak baik?”


Osman patuh. Dia engsot tubuh perlahan-lahan dan kini duduk bersila di atas katil. Pil-pil di dalam cawan plastik kecil dicapai dan dicampak ke tenggorokan. Dia telan perlahan-lahan dengan mata terpejam.


“Kenapa tak telan dengan air? Tercekik nanti,” ada nada risau dalam suara Sabihah.


“Kalau tercekik, tak apa. Sabi kan ada.”


“Baguslah awak dah makan ubat. Saya keluar dulu ya?”


Belum sempat Sabi berdiri tegak, Osman menyambar tangannya. “Tunggu.”


Jantung Sabihah berdegup kencang. Ini kali pertama. Sebelum ini, Osman cuma meracau saja. Dia tahu Osman tidak akan bertindak ganas terhadapnya.


Dia tahu khayalan Osman tentang perasaan cinta.


Atau barangkali khayalan itu dikongsi. Barangkali.


“Sabi, kita kahwin ya?”


Sesaat mata Sabihah terbeliak sebelum dia menahan tawa. Dia memandang wajah Osman yang tiada tanda berjenaka.


“Kita kahwin ya?”


“Osman, dengar sini. Kalau ikut jadual, dua minggu lagi awak dah boleh keluar. Macam ni. Lepas awak keluar nanti, awak keluar dengan sesiapa yang awak suka. Anyone. Kalau lepas sebulan awak masih tak jumpa orang yang awak berkenan, you give me a call. Boleh?”


Sabihah tahu umpan itu akan buat Osman tenang dan tidur lena. Sekurang-kurangnya malam ini dia tidak meracau.


Dua minggu berlalu, Osman akhirnya mendaftar keluar. Dia disahkan stabil namun masih perlu menjalani rawatan susulan.


Anehnya, sejurus selepas Osman keluar, Sabihah mula mengesan lohong dalam jiwa. Sunyi. Walau hampir saban hari Osman mengirim mesej, dia masih terkenang usik nakal Osman.


Dalam mesej, Osman memberitahu bahawa mustahil dia mahu keluar dengan sesiapa. Dia akan menunggu tempoh sebulan tamat dan mengajak Sabihah untuk temujanji.


Lama kelamaan, mesej dari Osman semakin langka. Dia sudah tidak kerap menghubungi Sabihah seperti dulu. Entah mengapa, Sabihah makin resah.


Sehinggalah tempoh sebulan hampir tamat, ada sampul surat rona kuning cair ditinggalkan di meja pejabat Sabihah. Tulisan tangan di sampul itu Sabihah kenal benar.


Ini surat dari Osman.


Ada sekeping kad di dalam sampul. Kad jemputan perkahwinan.


Osman dan Adila.


Terselit di antara lipatan kad, sekeping nota.


Betul kata awak, Sabihah. Saya akan jumpa orang yang saya suka. Keluarga Adila datang minta maaf. Kami sambung semula pertunangan dan akan kahwin tiga bulan lagi. Terima kasih sudi jaga saya di Rumah Seri Memori.


Ketika itulah, air mata menggaris pipi Sabihah.


Bahkan semakin deras.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com