cerita.

Kispen 136: Waras

Kemaskini: 17 Nov 2019

Fazrul dan Johan mundar-mandir. Bas yang ditunggu masih belum tiba. Sambil kongsi hirup teh ais perasa pisang Cool Blog, mereka sama-sama memerhati seorang lelaki yang juga mundar-mandir seperti mereka.


Bezanya, dia tidak berbaju dan cuma bercelana pendek. Cuma kaki kiri tersarung selipar Jepun. Kaki kanan telanjang, tenang sahaja melangkah dan memijak tar jalan yang memijar.

Lelaki separuh abad itu sedang menggaru kepala berambut goseng, sekali-sekala berteriak tentang Tuhan yang menghukum dirinya.


“Kau pernah dengar pakcik tu cakap apa?” soal Johan. Teh ais dihirup dalam-dalam.


“Pernah. Macam-macam. Dia kata Tuhan hantar dia ke dunia untuk tolong orang. Dia cari orang yang Tuhan suruh dia tolong. Kadang-kadang dia cari isteri dia. Katanya ada syaitan datang rumah dia, bakar rumah lepas tu culik isteri dia. Dia bergusti dengan syaitan tapi dia kalah,” Fazrul ketawa sinis.


“Kenapa kau ketawa?”


“Eh, kelakar kot. Kau tak rasa kelakar? Biarlah, orang gila macam pakcik tu memang cakapnya merapu tak tentu hala.”


Johan tersenyum. Gilirannya bikin raut wajah sinis.


“Kenapa?” Fazrul keliru.


“Sekurang-kurangnya, pakcik tu tak marah kalau orang tak setuju cakap dia. Kalau kita tak percaya pun, dia tak kisah. Dia tak paksa kita percaya apa yang dia percaya. Sekarang siapa gila?”


“Sudahlah,” Fazrul mengeluh. “Bas dah sampai.”

© 2020 nizambakeri.com