cerita.

Kispen 134: Bunga

Kemaskini: 17 Nov 2019

Adzlan tergopoh-gapah mendaki tangga sambil setiap langkah diselang maki dan cerca terhadap sistem lif yang memilih hari ini untuk rosak.


Nasib baik destinasinya tingkat empat saja. Peluh semakin berbintil di dahi namun dia tidak peduli. Biar dia lencun, kusam wajah. Yang penting, jambangan bunga di tangan rapi terjaga.


Dia tidak mahu terlewat kerana selepas pelanggan ini, ada satu lagi lokasi yang menunggu. Seorang lagi pelanggan sedang menanti.


Tiba di tingkat empat, Adzlan topang lengan di dinding sambil kumpul semula nafas. Dia lihat pintu kaca di hadapannya. Pelekat huruf disusun cermat, melintang.


Nama penyewa aras terpampang:


Haziq & Co.


Adzlan angkat jambangan bunga agar lebih jelas dilihat penyambut tetamu. Selang beberapa saat, bunyi bip jelas kedengaran, tanda pintu sudah boleh dibuka.


“Ada bunga untuk…” Adzlan semak buku catatan kecil yang diseluk keluar dari kocek seluar. “Cik Zuratul Ain.”


“Letak sini. Sain buku,” penyambut tetamu langsung tidak menoleh ke arah Adzlan ketika dia menghulur buku log surat-menyurat. Matanya tertancap di skrin komputer.


Ketika Adzlan menconteng lajur tarikh di buku log, selintas aroma paling wangi dikesan dari belakang.


“My lilies!”


Adzlan menoleh ke belakang. Tercegat di depan matanya sang peneriak. Wanita sederhana tinggi anggun di dalam blaus korporat putih dengan kemasan minimalis rona hitam di hujung lengan baju. Seluar labuh rona hitam hampir menutup sepatu tumit tingginya.


Sedetik Adzlan diselubung khayal.


“Mana tau bunga ni Cik Zuratul punya?” soal penyambut tetamu.


“Joyce, hari ni kan birthday saya. Mak memang tiap-tiap tahun hantar bunga,” Zuratul ambil jambangan lili putih tanpa tangguh seraya didekatkan ke wajah. Hidung runcingnya menghirup tiap zarah harum, diserap ke seluruh tubuh.


“Terima kasih ya,” suara parau Adzlan mencelah. Pen disisip semula di kulit hadapan buku log. Masa untuk kembali ke van. Tugasnya di sini sudah selesai.


“Nanti dulu,” ujar Zuratul.


Langkah Adzlan terhenti.


“Ya cik?” Adzlan reguk liur. Uja dan debar sederap berkawad dalam hati.


“Siapa nama awak?”


“Adzlan.”


“Awak pernah dapat bunga?”


Kening Adzlan semerta berkerut. Aneh. Soalan ini tidak pernah ditanya sesiapa sepanjang tiga tahun dia bekerja. Yang dia tahu, kirim dan pulang. Dia cuma pengirim. Tidak ada sesiapa yang pernah ambil pusing.


“Tak…tak pernah. Saya tukang hantar saja, cik.”


Zuratul berpusing membelakangi Adzlan dan mencabut sekuntum lili dari jambangan.


“Nah, ni awak punya.”


Adzlan terkelu. Dia menerima bunga. Dia menerima senyum paling manis yang pernah dilihat seusianya.


“Te…terima kasih, cik Zuratul,” balas Adzlan.


“Zaza. Panggil saya Zaza.”


Penyambut tetamu yang menyaksikan setiap babak masih terlongo.


“What was that, Cik Zuratul?”


“He’s cute. Awak mana nampak. Bila lawyer muda yang hot masuk ofis, baru nak angkat mata.”


Sementara itu, Adzlan menuruni tangga. Kali ini dia tidak gopoh. Langkahnya perlahan. Kad nama yang diselit kemas di dalam salah satu kelopak lili itu dibuka. Ada alamat dan nombor telefon.


Zaza. Panggil saya Zaza.


Saban hari Adzlan cuma mengirim cinta dengan bunga. Hari ini ada sekuntum, paling wangi dan mulus, di tangannya.

© 2020 nizambakeri.com