cerita.

Kispen 132: Masam

Kemaskini: 17 Nov 2019

“Kau nampak tadi?” Rudi geleng kepala sambil memasukkan semula kredit kad ke celah dompet.


“Nampak apa?” Alef terlongo. Dia masih sebu. Makan percuma, habis dilahap segala nama dalam menu.


“Perempuan yang jaga kaunter tadi. Masam betul muka dia. Kalau ya pun penat kerja, senyumlah sikit. Hormat pelanggan. Ini tidak. Muncung mulut dia tu, boleh simpul tau?”


Rudi tekan punat di alat kawalan kereta. Bunyi bip menjerit dua kali. Malam ini mereka makan besar sesudah selesai bertungkus-lumus menyiapkan kertas cadangan selama dua minggu. Petang tadi Rudi dan Alef dapat berita gembira. Projek mereka lulus.


Jom makan. Aku belanja!


Itu laungan pertama Rudi di pejabat tadi.


“Perempuan jaga kaunter?” Alef tarik tali pinggang keledar. Tegang, melingkar perut bocah.


“Ya. Ya rabbi, kau tengok apa ha tadi? Semua benda kau tak perasan.”


“Rudi, kau yang tak perasan.”


Kali ini Rudi yang terlongo. Alef mula terkernyih sambil geleng kepala.


“Rudi, Rudi.”


“Kenapa?”


“Perempuan jaga kaunter tu Ida. Awek lama kau. Rambut dia saja yang pendek. Lain semua sama. Kau hulur selamba kredit kad tadi kan? Tak tegur pun dia. Mana dia tak muncung.”


“Tapi…”


“Ya, tapi kau dating dengan dia dulu sebulan saja kan? Aku tau. Dah. Sekarang kau hantar aku pergi LRT. Nanti tak sempat pula last train,” Alef pegang bahu Rudi sambil mula tertawa.


Sambil mengundur kereta keluar dari ruang parkir, Rudi masih membisu. Ketawa Alef belum surut. Saat kereta dibrek sejeda, hiasan rantai kunci replika buaya yang tergantung di cermin pandang belakang bergoyang-goyang.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com