cerita.

Kispen 131: Kemis

Kemaskini: 28 Dis 2019

Hari ini dia terlewat sekali lagi ke pejabat. Langkahnya dipercepat. Dia cuba menyusup sepantas mungkin di celah jejal manusia yang sama-sama menyeberang jalan di jejantas.


Ekor matanya sempat menangkap jujuk pengemis dan peminta sedekah di pinggir jejantas.


Rencam rupa, seribu gaya. Ada yang meriba anak kecil yang masih terlena, ada yang kudung dengan balutan kusam hamis separas lutut, ada yang meratib ayat-ayat suci seiring gemerincing syiling di dalam kole yang teroleng-oleng.


Dia pancing keluar telefon bimbit dari dalam beg sandang. Satu mesej Whatsapp dikirim kepada rakan sekerja.


Langkahnya dipercepat.


Tiba-tiba, dia terasa kaki seluar ditarik. Dia memandang ke sisi lalu seorang remaja lelaki tengadah. Matanya redup. Ada bekas plastik di tangannya.


“Abang, abang pu—”


“Tak payah! Kau ni minta sedekah apa? Badan sihat, anggota cukup. Nak mengemis juga?”


Belum sempat sang pengemis membalas, dia merengus marah dan berlalu.


Sang pengemis cuba memanggil namun suaranya tenggelam dalam riuh kota dan rusuh manusia. Dia melambai sambil menuding jari ke lantai jejantas.


Sebuah dompet tersadai, tanpa sedar dicicirkan.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com