cerita.

Kispen 129: Tari

Kemaskini: 28 Dis 2019

Dia tahu, sang gadis terlalu malu untuk memandang. Masakan tidak, dewan tari yang sejak tadi sesak kini lengang.


Yang tinggal cuma mereka berdua.


“You’re good,” ujar Rehman.


“Dah lama tak menari macam ni,” sang gadis tersipu-sipu namun sempat matanya memanah tepat wajah Rehman.


Mata coklat sang gadis itu segera membuat Rehman merangkul pinggang sang gadis lebih erat. Dia atur langkah tari dengan lebih perlahan. Itu petua guru tarinya:


Jangan gopoh menekuni rentak irama andai dalam rangkulanmu seorang wanita sederhana yang baru ingin mengerti soal dansa. Dengan langkah yakin dan renung mata, pandulah dia.


Gaun rona perang muda itu cocok benar dengan tubuh genitnya. Sekali-sekala jari Rehman menggesel manja bahu sang gadis yang sedikit bersinar disuluh lampu limpah dewan tari.


Sang gadis senyum setuju. Lesung pipit muncul serentak pipi memerah.


“Awak suka lagu ni?” soal sang gadis.


Rehman memejamkan mata dan sekali lagi melarutkan butir nada dalam minda.


The Closer I Get To You nyanyian Roberta Flack itu tidak pernah gagal sebagai lagu pengiring tari yang utuh.


“Ini lagu favorite saya.”


Ting! Ting! Ting!


Rehman merengus. Bukan masanya loceng itu berbunyi.


Ting! Ting! Ting!


Rehman terpaksa juga pergi. Dia kucup dahi sang gadis lama-lama.


“Awak tunggu sini. Kejap lagi saya datang,” ujar Rehman sambil menekan butang kuasa pembesar suara yang masih berdendang.


Rehman keluar.


“Bang, saya punya dah siap? Dry cleaning. Saya hantar semalam. Lupa bawa resitlah,” seorang pelanggan wanita lewat 40-an tercegat di kaunter.


“Baju kurung. Tiga kan? Dah. Dah. Nanti saya ambil.”


Rehman masuk semula ke dalam. Sambil cari baju pelanggan di rak, dia kerling ke arah dinding. Gaun perang digantung sebentar di situ.


Nanti kita sambung menari ya, sayang?

© 2020 nizambakeri.com