cerita.

Kispen 112: Tebus

Kemaskini: 28 Dis 2019

Dia persetankan dentum irama yang mengisi udara. Panah laser rencam warna dibiar hinggap menggaris kemeja lusuhnya.


Semakin hampir dengan pentas kecil di tengah-tengah medan mabuk, dia rehatkan punggung di satu-satunya kerusi tanpa penghuni.


Nama penari seterusnya dipanggil.


Dewi.


Yang dia tahu, di kelab tarian bogel ini, tiada yang punya nama. Segala pudar, sembunyi dalam gelar samar.


Aneh sekali saat Dewi mula goyang dada, dia mengalih pandang walhal penenggek pentas lain sudah berjejeh liur. Sudah rancak fikir diatur. Sudah mula wang lebur.


Minuman yang baru tiba dihirup perlahan-lahan sambil dia cuma mengelak bau parfum dan keringat Dewi yang sudah mula sebati di kulit, terdedah buat semua.


Penonton terus segar, sambung sergah siul. Masing-masing pasang impi kelak bergelinjang dengan Dewi di sempadan sedar-mimpi.


Kecuali dia yang hanya sekali-sekala menjeling.


Akhirnya, dia angkat beg bimbit yang sejak tadi setia menemani kaki kerusi. Pada pemegang beg bimbit ditambat tanda nama yang tertulis: Untuk Dewi.


Dia pastikan Dewi memandang beg itu sebelum dia beredar. Dewi makin galak mengelus tubuh di tiang dan mengenyit mata padanya.


Dia keluar dengan hati lega.


RM500,000 tunai di dalam beg bimbit. Cukuplah. Sekurang-kurangnya dia tahu, Dewi satu-satunya penari dengan nama sebenar.


Nama yang diselit pada bungkus kain bersama-sama anak yang ditinggalkan di pintu masjid, 20 tahun yang lalu.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kispen 150: Riba

“Ahhh!” Sebilah pisau bedah terbang dari genggaman Dr Syarif ke dinding, melantun, lalu gugur ke lantai seraya menghantar denting ke setiap sudut kamar bedah nan sunyi. Kesemua jururawat membisu. Kaku

© 2020 nizambakeri.com