cerita.

Kispen 107: Kejar

Kemaskini: 29 Dis 2019

“Ramzi, kau dah kena kepung. Keluar sekarang!” Inspektor Alena bersedia di muka pintu dengan sepucuk pistol.


Sunyi.


Inspektor Alena angguk kecil. Salah seorang anggotanya yang berjaket denim mara. Pintu ditendang.


Imej pertama singgah di anak mata Inspektor Alena – mayat Ramzi terkujur di ruang tamu.


Mulutnya berbusa.


Dua anggota siasat segenap kamar dan ruang di apartmen. Petugas forensik mula berkampung. Ada yang mahu merapati gemulah Ramzi namun dihalang Inspektor Alena.


“Kamu periksa tempat lain dulu. Cari bukti kalau-kalau dia ada simpan mayat kat sini.”


Inspektor Alena amati mayat di hadapannya. Ada tatu di dada Ramzi namun terhalang oleh kemeja yang menyarung tubuh. Cuma beberapa huruf kelihatan.


Sepasang sarung tangan dicopet dari beg kelengkapan forensik yang ditinggalkan di lantai.


Satu-persatu butang kemeja Ramzi ditanggalkan. Jujuk kata membentuk rangkap pesan tercacah di dada.


Aku cuma hidup sesudah melihat mati Apatah lagi diburu sang bidadari Sejak kau mengejar aku berlari Bukan gentar namun penuh berahi Kini kupersembahkan yang abadi Bahawa nyawaku tiada erti Kecuali kau terus memburu diri Alena, kau kekal di hati


Pandangan Inspektor Alena perlahan-lahan kabur sebelum dia terlentang.

© 2020 nizambakeri.com