cerita.

Irama: Bahagian Akhir

Bahagian ( 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 )

“Sorry lambat,”

Klien sudah tiba.

“Semua dah settle?”

Jon angguk. Dia buka mulut beg dan keluarkan iPhone. Lima gambar bergilir-gilir ditayang pada skrin telefon. 

Kesemuanya hampir sama. Kamar mandi dengan lampu suram. Ada tubuh kaku separa tenggelam dalam tab mandi. Mata terkatup. Mulut terlopong. Telanjang.

“Video?”

Jon keluarkan kamera video Legria. Dia sumbat fon telinga pada kamera video dan dihulur pada klien. Simbol play pada skrin kecil ditekan. 

Kliennya kagum dengan sudut kamera. Tubuh Jon langsung tak kelihatan. Lensa kamera cuma tertumpu pada kepala mangsa yang ditekan dan diselam dalam tab mandi. Jerit dan sedak cuma bertahan seketika sebelum mangsa longlai. 

Jon sudah mangli dengan rencam ragam klien. Ada yang cerewet, mahu bukti itu ini sebelum harga dilunas. 

Ada yang tak banyak berkira.

“Bagus,”

Sampul surat sendat dilungsur di muka meja. 

“Separuh lagi aku bagi lepas tengok mayat,”

Jon angguk. Dia angkat tangan pada Fandi. Selang seminit, Fandi tiba dengan dulang kecil berisi sebotol vodka dan dua gelas kecil. 

Klien Jon tuang isi botol perlahan-lahan. Jon cuma geleng kepala apabila dipelawa minum. Jon periksa semula beg galasnya.

Semua ada.

Lagu adunan semula Rain On Me gandingan Marc Anthony dan Pitbull bergema. Seolah segenap inci dinding kelab bergetar. Lantai tari mula diisi kinja dan dansa. 

Jon bingkas. Dia mahu beredar. Kliennya masih ingin meraikan maut musuh. 

Jon merapatkan tubuh pada klien seolah ingin membisikkan sesuatu. Pistol pantas diambil dari dalam jaket. Dua das tembakan di dada tenggelam dalam muncung penyenyap dan dentam irama yang menyumbat telinga segenap pengunjung bar.

“Don’t worry. Aku settle. Jangan lupa cut aku.” Fandi melangkah tenang di sisi Jon.

Jon angguk. Dia sudah lewat untuk ketemu klien seterusnya.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Irama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 ) Suaranya menjalar bagai racun paling berbisa ke segenap pembuluh darah. Tidak seperti vokalis Runutbunyi yang mengalun indah penawar jiwa. Kata mereka cinta dan perang sa

Irama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 ) Jangan tinggalkanku kesakitan Usah biarkanku dalam hujan Kembalikan malam saat kita berteman Entah berapa kali Naema ucap ‘saya sayang Jon’ sepanjang pertemuan di bilik penge

Irama: Bahagian 4

(Bahagian 1 | 2 | 3 ) Spageti di pinggan Jon tinggal separuh. Dia alihkan perhatian pada persembahan di pentas kecil yang mengisi ruang hadapan bar. Vokalis runut bunyi mendendangkan Unbreak My Heart

© 2020 nizambakeri.com