cerita.

Irama: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2 )

Jon mendekati kaunter minuman keras. Rak di belakang kaunter megah membariskan botol-botol rencam warna seribu rasa. 

Cuma dua pelanggan bertenggek di kerusi sambil tongkat dagu di meja kaunter, menghadap gelas kecil berisi impi dan khayal buat mengisi sepi dan sebal.

Malam baru bertatih.

“Awal datang, Jon. Ada kerja?”

Jon angguk. Dia disapa Fandi, pemilik Fana Beat. 

“Makan macam biasa?”

Jon angguk.

Sambil berjalan menuju ke meja, Jon disapa gadis dengan tube sendat rona merah jambu membalut tubuh. Dadanya membusung.

“Nice shades,”

Jon cuma berlaga bahu dengannya.

Fandi bukan jaga kelab ini semata-mata. Dia bapa ayam juga. Bukan aneh dia membiarkan mereka berkeliaran di sini. Bahkan di tingkat atas ada beberapa kamar kosong. 

Betapa licik Fandi mencari wang. Sambil diulit nyanyi dan ghairah gerak tari, pelanggan berterusan hanyut dan mudah mencari tempat andai mahu bergelinjang sepusingan pantas. Atau semalaman membutirkan keringat noda. Asalkan wang ada.

Sepinggan spageti dan segelas Coke mendarat di meja. Malam ini Jon bekerja, jadi dia enggan dipukau alkohol. 

Garfu segera ceroboh tompok daging cincang berlumur kuah tomato. Pintalan spageti yang sebentar tadi santun bersimpuh di pinggan kini cacamarba. Jon gaul semuanya.

Selagi masih ada inci spageti yang belum dipalit kuah tomato, dia terus bikin huru-hara dalam pinggan. Sekali-sekala Coke dihirup.

“Selamat malam semua. Good evening. We are Runutbunyi. We hope you’ll enjoy our music. Kalau nak request lagu pun boleh. We’ll try our best, okay?”

Gitaris Runutbunyi bertukar pandang dengan ahli kumpulan. Dia berkemeja T hitam dengan tulisan The Strokes di dada. Di lehernya tergantung gitar utama. 

Seorang lagi pemain gitar memilih kemeja potongan sendat. Pemain dram lengkap bersubang dan bertindik di hidung, duduk di belakang set dram. 

Mata Jon masih terpukau pada vokalis jelita. Dia bersinglet hitam dengan jeans separas lutut. Ada kalung rona perak di lehernya. 

Siaran Terkini

Lihat Semua

Irama: Bahagian Akhir

Bahagian ( 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 ) “Sorry lambat,” Klien sudah tiba. “Semua dah settle?” Jon angguk. Dia buka mulut beg dan keluarkan iPhone. Lima gambar bergilir-gilir ditayang pada skrin telefon. Ke

Irama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 ) Suaranya menjalar bagai racun paling berbisa ke segenap pembuluh darah. Tidak seperti vokalis Runutbunyi yang mengalun indah penawar jiwa. Kata mereka cinta dan perang sa

Irama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 ) Jangan tinggalkanku kesakitan Usah biarkanku dalam hujan Kembalikan malam saat kita berteman Entah berapa kali Naema ucap ‘saya sayang Jon’ sepanjang pertemuan di bilik penge

© 2020 nizambakeri.com