cerita.

Hikayat Melayur Pucuk: Bahagian Akhir

Bahagian 1 2 3 4

Tiba di anjung masjid, Mail Birahi capai pemalu beduk. Entah berapa kali tangannya dihayun deras.

Kulit kerbau yang diregang bergetaran, menghantar gema ke seluruh Melayur Pucuk.

Belum sempat habis rokok barang sepuntung, sudah penuh laman masjid. Orang-orang kampung bergegas, bimbang ada kecemasan.

“Dengar sini, orang-orang kampung! Aku sudah bertemu Tok Khamis. Aku sudah berjumpa Tok Senain. Kedua-duanya tidak mahu menolong kita! Kedua-duanya sudah jadi tali barut pedagang-pedagang! Maka, Hari Undi esok aku akan membuat kejutan.”

Mail Birahi menahan mengah.

“Ya, kejutan apa? Itu kalian tunggu sampai esok. Ya, tunggu Hari Undi esok. Ingat, pertahankan Melayur Pucuk! Ini tanah kita! Ini tempat tumpah darah kita!” Tangan digenggam menumbuk langit. 

Sunyi. Ada empat orang saja yang turut bangkit bersorak. Campur yang dulu, dua belas.

Hari Undi akhirnya tiba. Seisi Melayur Pucuk berpagi-pagi di padang datar. Mail Birahi muncul di hadapan khemah undi.

“Ya, inilah kejutannya. Kalian pasti tertunggu-tunggu, bukan? Aku, Mail Birahi akan bertanding untuk jadi penghulu! Bukan, aku bukan orang Tok Khamis. Bukan penyokong Tok Senain. Undi aku untuk aku. Ya, inilah kejutannya.” Mail Birahi terkernyih bangga.

“Bahlul. Ini kejutan tahi kucing, namanya. Dari semalam lagi kami sudah tahu, Mail. Kau ingat kami bodoh? Kau dah dibuang Tok Khamis, orang-orang Tok Senain pun menolakmu. Lalu, kau mahu mengemis kuasa dari kami? Sudahlah, Mail. Baik kau pulang, jual herba dan jamu. Ada juga manfaat pada kami.” Wak Umar ketawa.

Pak Hitam ketawa. Adi Terlak ketawa. Jabbar ketawa. Ferreira ketawa. Ah Fatt ketawa. Daing Puteh ketawa. Melayur Pucuk ketawa.

Sesudah solat Maghrib, keputusan diumumkan.

Tok Khamis, 55 undi.

Tok Senain, 55 undi.

Mail Birahi, 13 undi.

Tok Senain dan Tok Khamis berpelukan. Mail Birahi tidak kelihatan di masjid. Wak Umar berbisik, barangkali dia sibuk merancang satu lagi kejutan.

Malam itu juga, Tok Senain dan Tok Khamis pergi menghadap Sultan.

© 2020 nizambakeri.com