cerita.

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 3

(Bahagian 1 | 2)

“Aku dengar Orang Kaya Mujar ada bikin tawaran. Barangsiapa yang mampu buat Awang Jentaka ketawa, diberinya 100 keping wang emas.” Adi mengemaskan sila.

Mihat tersenyum. Benarlah, berita ini sudah diketahui seisi Melaka. 

“Gila, bukan? Mengapa tidak disedekahkan saja pada orang-orang miskin?”

“Ah, aku rasa dia suka-suka saja. Apa kata Awang Jentaka?”


“Dia tak boleh buat apa-apa. Bukannya Orang Kaya Mujar buat salah. Bukan begitu?” Mihat kuap. Nampaknya dia sudah mangli dengan kopi.

“Betul juga. Sudah ramai yang mencuba?”

“Ramai. Setiap petang lepas Asar, Awang Jentaka akan berehat di anjung rumah. Ketika itulah Orang Kaya Mujar bertandang. Yang ingin mencuba nasib, beratur menunggu giliran.”

“Dia tak marah?”

“Siapa? Penghulu Awang?” Terbit juga panggilan Meranti Murung pada Awang Jentaka, “Mana ada. Berehat sambil melihat dan mendengar jenaka, bukannya luak apa-apa.”

“Kau tak cuba, Mihat?”

“Aku? Ish, tak mahulah. Bukannya aku tahu nak bergurindam seloka seloroh.”

“Cuba sajalah. 100 keping wang emas, bukan sedikit tahu?”

“Yang kau bersungguh-sungguh sangat, kau mahu cuba?”

Adi Terlak mengangguk kecil sambil mengangkat kening. Memang itulah yang dicari di Meranti Murung. Kekayaan segera. 

Apakah begitu sukar membuat penghulu Meranti Murung ketawa? Adi percaya, dia mampu. Kalau gagal sekali pun, dia dapat bertemu sahabat lama.

Dapat mengecap nikmat gulai sepat.

Esok, dia mahu ajak Mihat ke rumah Awang Jentaka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

© 2020 nizambakeri.com