cerita.

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 2

(Bahagian 1)

“Kata kau, datang berteman. Mana yang lain?”

“Penat mengharung hutan. Mereka bermalam di Kampung Pusu. Esok pagi, sampailah.” Adi Terlak menyapu butir nasi di pinggir bibir dengan kura tangan.

“Tambah lagi, Adi. Sepat ni, aku tangkap sendiri.”

Adi angguk sambil nasi bergaul gulai sepat dikunyah kecap tanpa bunyi. Enak sungguh. Pandai Mihat mencari isteri. Sudahlah ayu berwajah luhur, handal pula tingkah di dapur.

“Kau masih buat sampan?” Mihat cedok nasi lagi.

“Yalah. Itu saja yang tulang empat kerat ini boleh buat.”

“Bakat dari Tuhan.”

“Macam kau juga. Boleh bercakap dengan kambing.”

Mihat hampir tersedak. Kalau sudah bertemu, memang mereka tiada sempadan berlucu. Melati muncul dari dapur, menatang dulang berisi dua cawan kopi.

“Ini airnya, bang. Adi, jemput minum.”

“Aku bukannya nak bercerita sangat. Cuma, kebetulan kau datang melawat, rugi pula kalau tak tahu cerita Awang Jentaka.” Mihat mencelup tangan ke dalam mangkuk berisi air. Jari-jemari diramas, digonyoh.

“Dia penghulu di sini, bukan?”

Mihat angguk. Cawan kecil putih berhias corak bunga teratai disua ke bibir. Wap kopi berkepul-kepul, berlumba-lumba menujah hidung.

“Benarkah cerita tentang dia tak per—“

“Tak pernah ketawa? Betul. Cerita orang, dia begitu sejak kecil lagi. Hatta diagah waktu bayi dulu pun, dia diam saja. Paling tidak, senyum herot sikit. Itu saja.”

Adi terlopong. Apakah malang nasib seorang manusia dicabut nikmat ria sedemikian rupa?

“Kau pernah tengok dia ketawa? Atau senyum?”

“Adi,” Mihat hirup kopi sambil mata dikejap rapat menahan kelat, “bukan saja aku, malah seluruh Meranti Murung ini pun tidak pernah melihatnya.”

“Walau sekali?”

“Walau sekali.”

“Isterinya? Bagaimana?”

“Mana ada isteri. Kau fikir ada yang ingin sehidup semati dengan manusia sebegitu? Siang malam wajah yang itu-itu juga. Digeletek, diusik namun diam seribu bahasa.”

“Betul juga.” Adi menyimpan malu lantaran soalan dungunya. Benar kata Mihat. Orang yang seperti itu, pastilah sunyi tanpa suri hati. Kalau dalam kelambu, lebih dahsyat. Bagaimana mahu, ah, gila. Adi memadam angannya cepat-cepat.

“Itu sajakah cerita Awang Jentaka yang sampai ke Melayur Pucuk?” Mihat tunduk sedikit merenung cawannya. Separuh kosong.

“Ada lagi. Sebab cerita inilah aku sampai ke mari, selain berjumpa kau.”

“Cerita yang mana satu?”

Bersambung

Siaran Terkini

Lihat Semua

Irama: Bahagian Akhir

Bahagian ( 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 ) “Sorry lambat,” Klien sudah tiba. “Semua dah settle?” Jon angguk. Dia buka mulut beg dan keluarkan iPhone. Lima gambar bergilir-gilir ditayang pada skrin telefon. Ke

Irama: Bahagian 6

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 | 5 ) Suaranya menjalar bagai racun paling berbisa ke segenap pembuluh darah. Tidak seperti vokalis Runutbunyi yang mengalun indah penawar jiwa. Kata mereka cinta dan perang sa

Irama: Bahagian 5

(Bahagian 1 | 2 | 3 | 4 ) Jangan tinggalkanku kesakitan Usah biarkanku dalam hujan Kembalikan malam saat kita berteman Entah berapa kali Naema ucap ‘saya sayang Jon’ sepanjang pertemuan di bilik penge

© 2020 nizambakeri.com