cerita.

Hikayat Awang Jentaka: Bahagian 1

Adi Terlak akhirnya tiba jua di Meranti Murung. Asalnya bertiga, akan tetapi tiadalah mangli Tapa Embah dan Mat Pesek mengharung hutan. Lelah. Berjujuh peluh dari segenap roma.

“Kau pergilah dulu, Adi. Kami bermalam di sini dulu. Esok pagi kami berangkat.” 

Adi senyum. Teringat pula hidung Mat Pesek kembang-kempis. Misai nipis berserak di bawahnya. 

Dia bukan tidak mahu menyusur sungai, cuma sampannya dipinjam orang. Masyhur benar di seluruh Melayur Pucuk akan halus buatan lasak binaan sampan Adi Terlak.

Lantas, keraplah dayung tiada di tangan. Adi pun tidak berkira. Lokek dan kikir sudah lama terpadam dalam kamus hidupnya.


Ramai juga orang di sini, ujar Adi. Riuh jua pekan Meranti Murung, walau tidak segamat Melayur Pucuk yang lebih hampir dengan Pelabuhan Melaka.

Adi memanjangkan leher, mencari kandang kambing bertanda kain hitam. Ah, terlalu ramai pula. Entah berapa kali bahu Adi Terlak digeser, dirempuh.

“Adi! Sini!”

Mihat melambai-lambai. Adi meluru tanpa lengah. Dua sahabat lama berpeluk erat. Tiba-tiba kelopak mata Adi basah.

“Lama betul kau tak ke sini, Adi. Orang Melayur Pucuk memang sombong, ya?” 

“Sudahlah. Kau tu apa kurangnya. Aku dengar, kau saudagar kambing terkaya di sini?”

Tawa pecah. Mihat menampar bahu Adi.

“Ayuh, ke rumah. Isteri aku dah siapkan makanan.”

“Eh, aku datang bukan mahu makan. Aku mahu jumpa Awang Jentaka.”

Tawa pecah lagi.

“Jangan disebut namanya nyaring begitu. Telinganya ada di mana-mana,” anak mata Mihat meliar kiri kanan, “nanti kau pula tertangkap.”

“Yalah. Yalah. Kita ke rumah kau dulu. Ingat, banyak yang kau mahu cerita. Jangan tinggalkan walau satu.”

Mihat memanggil dua budak kuli lalu dipesan tentang kambing-kambingnya. Dia mahu pulang awal. Pastikan kambing semua ditambat senja kelak. Selak pintu kandang. Kalau Choy Candu datang, katakan kambingnya akan dihantar esok.

Mihat dan Adi berjalan keluar dari hingar-bingar pekan. Masing-masing tidak sabar. Mihat mahu bercerita. Adi ingin pasang telinga.

Semuanya tentang Awang Jentaka

Bersambung

© 2020 nizambakeri.com