cerita.

Empat Minit Terakhir #2


(Bahagian: 1)

Dalam siri kedua, saya masih lagi belum mahu menyentuh aspek teknikal.



Sebab? Saya bukanlah arif benar dalam bidang ucapan penggulungan. Jadi, mesti berhati-hati dan masih menyusun kandungan untuk itu. Dengan izin Tuhan, akan dimuat naik jua nanti.



Kali ini saya mahu kongsi pandangan tentang perkara-perkara yang tidak perlu dilakukan ketika ucapan penggulungan. Kalau boleh, elakkan.



Janganlah pula anggap senarai ini sebagai larangan keras. Kalau buat, maka pasukan tewas. Kalau buat, maka haram. Jangan.



Ini cuma peringatan hasil pemerhatian saya. Tindakan-tindakan ini secara umumnya hanya membazir masa dan tidak memberi kesan kepada ucapan penggulungan.



Lebih mengerikan sekiranya tindakan ini mengubah pandangan hakim pada saat-saat akhir yang sudah pun (sebenarnya) berpihak kepada pasukan anda sebelum ucapan penggulungan.

1. Melayan lelucon sisipan



Pendebat perlu bijak membezakan antara serangan pihak lawan yang mendedahkan kelemahan kes pasukan dengan camdik dan jenaka. 



Janganlah membuang masa melayan sindir sinis pihak lawan yang barangkali mengejek rupa paras atau cara pemakaian pendebat.



Ini hanya membuang masa dan hampir tiada sebarang merit kepada kes pasukan. Teguran ini saya dahulukan kerana kerap benar dilakukan oleh para pendebat belakangan ini.



2. Mengulang fakta demi fakta



Yakinlah bahawa panel hakim telah mendengar dan (kebanyakannya) mencatat segala fakta yang telah pendebat kemukakan ketika sesi penghujahan. 



Andai yang disampaikan dalam empat minit terakhir saling tak tumpah dengan apa yang telah dilakukan pada fasa awal perlawanan, maka di manakah tarikan ucapan penggulungan tersebut?



Yang mahu didengar oleh pihak hakim ialah rumusan. Bagaimanakah fakta-fakta ini berjaya mendirikan kes pasukan? Apakah pula kegagalan pihak lawan dalam menyerangnya?



3. Bermadah pujangga ada batasnya



Kekuatan bahasa tidak boleh dipandang remeh dalam debat Bahasa Melayu. Pun begitu, empat minit terakhir terlalu singkat.



Hentikanlah tabiat menghabiskan seminit pertama dengan kias ibarat alam semula jadi dan apa-apa unsur yang anda mahu kaitkan. Buang masa.



Melainkan, anda mempunyai kemahiran luar biasa untuk melarik langgam paling indah untuk menggambarkan keseluruhan senario debat dalam bentuk puisi satu minit.



Ingat, bahasa indah tidak semestinya diwakilkan dengan komponen sastera semata-mata. Bahasa indah juga boleh wujud dengan diksi dan kecindan yang kena pada waktunya.



4.  Usah taklid



Frasa seperti “timbang tara” dan “kemandirian kes” sudah menjadi basahan dalam ucapan penggulungan. Namun tahukah para pendebat apakah maksud frasa-frasa tersebut?



Para pendebat terdahulu bersusah payah mencipta teknik penggulungan berkesan dengan harapan dapat meningkatkan kematangan debat di samping mewujudkan nilai tambah dalam kemahiran bertikam hujah.



Justeru, amat memalukan sekiranya frasa-frasa ini digunakan semberono tanpa benar-benar memahami tuntutan di sebalik teknologi debat ini.



Boleh guna, cuma bukan membabi buta. Mesti kaji dan faham. Mesti uji dan hadam.



Amat hiba sekali apabila ada pendebat yang faham timbang tara sebagai, “Hujah kami tidak dibidas. Hujah mereka kami bidas semua. Nah, 3-0. Timbang tara? Kami lebih berat.” 



Ini amat mengaibkan.



5. Risiko tinggi, pulangan belum tentu besar



Empat minit terakhir tidak boleh dihabiskan dengan menguji teori pelaburan: high risk, high return. Tidak boleh.



Para pendebat tersohor yang mangli dengan pentingnya ucapan penggulungan sekali pun jarang-jarang menggunakan sebarang ayat bujukan yang berisiko tinggi.



Antara kaedah yang membolehkan pendebat mengesan sama ada ayat bujukan yang akan digunakan berisiko tinggi atau tidak: ada lintasan hati atau firasat pendebat yang mengatakan, “Kalau hakim tidak faham ayat ini, habislah.”



Maka, jangan gunakan. Jangan perjudikan nasib pasukan.



Atau, pendebat ingin melakukan ucapan pertimbangan moral pada hujung penggulungan seperti, “Jika usul perdebatan ini diterima…”, namun sedar bahawa fasa tersebut akan menimbulkan bisik-bisik curiga dan kurang selesa dalam kalangan audiens – maka elakkanlah.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

© 2020 nizambakeri.com