cerita.

Empat Minit Terakhir #1


Itulah frasa paling klise yang digunakan untuk menggambarkan sesi ucapan terakhir debat ala parlimen. Empat minit terakhir. Klise, tapi tepat. 



Oleh hal yang demikian, amat penting bagi para pendebat untuk menggunakan empat minit terakhir ini sebaik mungkin bagi meyakinkan pihak hakim bahawa kes dan hujah pasukan anda lebih baik daripada pasukan lawan.



Dalam perlawanan yang sengit dan genting, terutama apabila kedua-dua pasukan sama handal – sesi penggulungan inilah yang biasanya dijadikan penentu ukur pemenang.



Banyak juga pasukan yang kelihatan nyawa-nyawa ikan dalam sesi penghujahan dan bidasan – kembali bernyawa sesudah ucapan penggulungan. 



Terlalu banyak yang ingin diceritakan mengenai ucapan penggulungan. Teknik, taktik, mantik. Terlalu banyak. 



Namun dalam siri pertama ini, saya tinggalkan seketika semua itu.



Saya ingin kongsi tentang ikon sesi penggulungan. Ya, pendebat-pendebat yang mempunyai karakter unik yang ampuh. Empat minit terakhir diadun rapi agar para hakim tidak ada fikiran kedua. Pasukan ini perlu menang.


Oh ya, ini semestinya pendapat peribadi saya. Mereka ialah para penggulung yang paling saya kagumi. Hingga kini. Barangkali ada yang lebih terampil, namun tidak sempat saya temukan di gelanggang atau belum pernah saya tontoni. 


Buat pendebat muda, banyak sekali karakter mereka yang boleh kalian teladani.



Yusfarizal Yussoff (UIAM)



Salah seorang daripada guru debat saya.

Struktur – inilah salah satu perkataan paling tepat bagi menggambarkan ucapan penggulungan beliau. Hakim seolah-olah tidak perlu menulis apa-apa. 



Setiap minit dicerakin rapi. Mendengar ucapan penggulungan beliau sama seperti mendengar pembentangan – dengan paparan multimedia.

Beliau terlalu arif membahagikan serangan dan pertahanan dalam komponen-komponen kecil yang mudah dihadam.



Perkataan-perkataan yang digunakan oleh Encik Yusfarizal begitu mudah, namum gramatis.

Sekali-sekala diadun dengan langgam bahasa indah, namun tidak pula masa dibazirkan demi sepotong puisi atau syair. Tidak.



Encik Yusfarizal membantu hakim melihat kes pasukan dalam bentuk paling ringkas dan sistematik. Beliau membuktikan sesi penggulungan bukan waktu untuk pendebat tenggelam dalam keasyikan sendiri, tetapi memimpin tangan audiens dan berjalan bersama-sama ke tempat yang dituju.



Mohd Daud Mat Din (UIAM)



Rakan karib saya.

No stone left unturned – ini frasa untuk karakter penggulungan Encik Daud. Beliau mempunyai tabiat mencatat setiap ide yang terlintas atau yang diberi oleh rakan sepasukan sebelum sesi penggulungan bermula. SETIAP ide. Semuanya.

Kemudian, beliau akan membahagikan timbunan ide serangan dan pertahanan ini kepada beberapa kategori.

Fakta bertindan, isi yang kurang diperhatikan hakim, bidasan remeh, lelucon sampingan – kesemuanya dipadam. Kalau pun ada yang ingin disampaikan, diselit sedikit saja.

Yang lain akan dikelompokkan oleh beliau mengikut tema sentimen. Biasanya ada ‘cerita besar’ di sebalik penggulungan beliau. Kesemua kelompok ini akan diterangkan sehingga kembali pada tema tersebut.

Temanya? Sepanjang debat berlangsung, pasti ada hanya SATU soalan utama yang ditolak darab oleh kedua-dua pasukan. Proses mencari soalan inilah – paling sukar.

Diyana Sulaiman (UITM)

Pendebat wanita nombor satu dalam senarai saya. Tanpa ragu. Aura bujukan dan olak perasaan beliau dalam ucapan penggulungan – hampir mustahil dipadam.

Jarang sekali beliau menggulung kes pasukan dengan isi yang dicerakin rapi, jauh sekali mengulang sebut hujah dan fakta yang telah dihambur ketika sesi penghujahan.

Beliau tampil dalam sesi penggulungan sebagai karakter paling dipercayai. Pertama, sebagai rakan paling karib yang berbual mesra – menerangkan kemelut dalam debat satu persatu.

Atau kedua, sebagai guru paling tabah – tegas dan jelas menjawab setiap serangan pihak lawan sambil memberi faham tentang kes pasukan.

Cik Diyana amat mementingkan ’emosi semasa’ audiens, terutamanya hakim. Saat beliau bangkit berbicara, beliau seolah-olah tahu kedudukan tanggapan hakim terhadap perlawanan.

Andai bersama-sama pasukan, akan beliau suburkan. Andai masih timbul syak dan musykil, akan beliau kuburkan.

Abdul Hadi Abdul Apet (USM)

Jika anda mencari karakter penggulung yang santai dan berbisa – inilah antara model paling tepat. Senyum tenang dan bahasa mudah beliau dalam penggulungan membikin pasukan lawan tergamam.

Encik Abdul Hadi menghampiri audiens sebagai orang biasa. Tidak ada kosa kata bombastik, tidak ada degar suara memecah suasana. Tidak ada.

Teknik ‘bercerita’ dalam penggulungan yang digunakan beliau amat langka sekali ditemukan dalam kalangan pendebat masa kini.

Mendengar penggulungan Encik Abdul Hadi seolah-olah menonton ulang tayang sebuah drama. Ya, bukan ratib hujah dan fakta, tetapi sebuah cerita.

Beliau mengadun sudut teknikal penggulungan dalam bahasa mudah dan analogi yang benar-benar analogi. Bukan sekadar kecindan bahasa, tetapi penerangan untuk sesiapa sahaja.

Saya mencadangkan agar para pendebat mendapatkan video-video debat mereka. Tonton dan belajar.

Siaran Terkini

Lihat Semua

Terima kasih Zaleha

Dua hari lalu, isteri saya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami komplikasi kecil berkaitan kandungan. Dia mendaftar masuk di wad sementara berhampiran dewan bersalin lewat malam Isnin

© 2020 nizambakeri.com