cerita.

Dilema Pendebat Kedua #3


(Bahagian 1 | 2)

Saya akan mengupas mengenai pendebat kedua pembangkang (Timbalan Ketua Pembangkang – TKP) dalam siri ini.



Secara umumnya, peranan TKP hampir sama dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi pasukan kerajaan. Serangan terhadap kes lawan dan mendirikan kes dengan hujah dan fakta.



Pun begitu, terdapat beberapa fungsi khusus bagi TKP yang, jika diberi perhatian dan digunakan sepenuhnya, mampu membantu para pendebat untuk memainkan peranan sebagai TKP dengan lebih berkesan.



1. Kes Lawan Sudah ‘Siap’



TKP bangkit untuk berucap setelah TPM dan Perdana Menteri (PM) selesai berucap. Secara teknikal, kes kerajaan sudah selesai dibina – sama ada pembentangan yang dilakukan oleh PM, atau pembetulan yang dibikin oleh TPM.



Situasi ini menjadikan peranan TKP agak unik. Mengapa?

Pertama, TKP boleh menjelaskan hal ini kepada audiens. Beritahu mereka, kes kerajaan sudah siap – tetapi di mana silapnya? Di mana cacatnya? Analisis ucapan PM dan TPM. Kenal pasti percanggahan antara kedua-duanya.



Kedua, TKP juga boleh, secara retorik, ‘menghalang’ pendebat ketiga pihak kerajaan daripada melakukan sebarang pembetulan terhadap kes yang sudah siap. 



Nyatakan halangan tersebut kepada audiens. Beri beban tambahan kepada pendebat ketiga kerajaan untuk cari jalan keluar.



2. Banding. Jangan Ulang.



Salah satu teknik yang kerap saya temukan dalam gelanggang debat (yang digunakan sama ada oleh pendebat muda atau utama) ialah pengulangan serangan atau pertikaian yang telah dibawa oleh Ketua Pembangkang (KP).



Strategi ini, walau tidak bercanggah dengan mana-mana format debat, namun perlu dielakkan kerana teknik ini menggambarkan kekurangan ide di pihak pembangkang.



Tambahan pula, sekiranya serangan KP sudah dipatahkan oleh pihak lawan, maka apakah lagi gunanya melancarkan jurus yang sudah diketahui cara tepisnya?



Serangan KP berbentuk pandangan pertama. Lihat dan serang. 



Sebaliknya, TKP sudah mendengar kes kerajaan-serangan KP-serangan balas TPM. Maka, bentuk bidasan atau pertikaian baru diperlukan.



Serangan molek sekali disampaikan dalam bentuk analisis perbandingan. What they have done so far lebih menggamit perhatian berbanding what’s wrong with them.



3. Jeling-Jeling Pendebat Ketiga



Sebagai TKP, anda merupakan orang terakhir yang menyampaikan hujah dalam gelanggang. Selepas itu, sesi bidasan akan bermula.



Justeru, beberapa perkara perlu sentiasa tersemat dalam minda sebagai peringatan.



Pertama, jangan beri bola tanggung kepada pihak lawan. Berhati-hati dalam membuat pembetulan atau penerangan semula kes pasukan. Sekali anda tersilap langkah, smash pertama pendebat ketiga kerajaan akan meranapkan kes pasukan.



Serangan semerta sedemikian perlu dielakkan dengan apa cara sekali pun.



Kedua, kebanyakan pasukan (peringatan: BUKAN semua) mempunyai pendebat ketiga yang mempunyai kemampuan untuk menghidupkan kes pasukan.



Pasukan sebegini biasanya mempunyai kecenderungan untuk ‘mengabaikan’ kesalahan yang dilakukan oleh PM dan TKP, atau pembetulan kesilapan dilakukan sambil lewa kerana mereka sedar pendebat ketiga akan kembali membaiki keadaan.



Strategi begini perlu dimanfaatkan oleh TKP. Timbunkan segala beban kepada pendebat ketiga dengan mendedahkan kesalahan pasukannya kepada audiens. 



Beritahu audiens bahawa segala pertikaian ini wajib dijawab oleh pendebat ketiga kerajaan. 



Ya, teknik ini lebih kurang sama dengan TPM, cuma pendebat ketiga lebih terdedah kepada risiko penggunaan masa yang tidak seimbang kerana penerangan kes akan diadun bersama-sama dengan bidasan – menjadikan ucapan mereka lebih panjang daripada apa yang telah dirancang.

© 2020 nizambakeri.com