cerita.

Debat Alam Sekitar: Pencemaran Alam Sekitar

Antara tema yang paling kerap ditampilkan dalam senarai usul Debat Alam Sekitar (DAS) ialah pencemaran alam sekitar. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan hampir semua usul DAS mempunyai kaitan dengan pencemaran alam sekitar sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung.

Justeru, molek bagi para pendebat untuk menambahkan pengetahuan mengenai pencemaran alam sekitar bagi memudahkan proses penguasaan fakta bagi menghadapi DAS.

Antara soalan yang pasti timbul di benak para pendebat ialah: Apa yang saya perlu tahu tentang pencemaran alam sekitar? Bukankah terlalu banyak yang perlu dibaca dan dikaji?

Sekali pandang, sememangnya fakta mengenai alam sekitar melimpah-ruah dan tidak akan pernah habis dikaji oleh mana-mana pendebat sekali pun.

Pada hemat saya, cara yang lebih praktikal untuk menguasai fakta berkenaan pencemaran alam sekitar ialah dengan mengenal pasti komponen-komponen berikut:

1. Definisi

2. Kes-kes popular

3. Langkah mengatasi pencemaran

4. Organisasi berkenaan pencemaran

5. Undang-undang, penjanjian & dokumen berkenaan pencemaran

Komponen ini saya senaraikan berdasarkan pemerhatian saya terhadap kekerapan jenis fakta yang dikemukakan dalam DAS. 

Senarai ini tidak tuntas (exhaustive) namun diharap serba sedikit dapat membantu para pendebat mendapat gambaran umum mengenai skop fakta yang perlu diketahui dalam konteks pencemaran alam sekitar.

Bagi yang telah menguasai komponen-komponen tersebut, anda bebas menambah komponen lain yang dirasakan relevan dan menarik untuk disenaraikan sebagai fakta.

Saya sertakan contoh helaian fakta (fact sheet) bagi menggambarkan komponen tersebut (right click imej di bawah dan pilih ‘Open link in new tab‘ untuk paparan lebih besar):


Perlu diingatkan bahawa helaian fakta di atas hanyalah sampel semata-mata. Para pendebat digalakkan mereka bentuk helaian fakta dengan gaya tersendiri yang sesuai dengan teknik pembacaan dan pemahaman masing-masing.

Bagi memudahkan para pendebat memahami helaian fakta ini, berikut merupakan penerangan ringkas bagi setiap komponen yang disenaraikan:

1. Jenis pencemaran

Para pendebat boleh memlilih jenis pencemaran yang umum seperti pencemaran air, udara, tanah, atau bunyi. Helaian fakta ini juga sesuai untuk jenis pencemaran yang spesifik – misalnya pelepasan gas rumah hijau, pembuangan sisa plastik, penipisan lapisan ozon, dan lain-lain.

2. Definisi

Pilih definisi yang sesuai bagi jenis pencemaran yang telah dipilih. Umumnya, definisi “pencemaran” terkandung dalam seksyen 2, Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pun begitu, para pendebat digalakkan untuk mencari definisi yang lebih spesifik dan relevan dengan usul perdebatan. Hal ini dilakukan bukan dengan mereka definisi sendiri, tetapi dengan merujuk organisasi / pandangan sarjana / laporan yang berkaitan dengan jenis pencemaran yang dipilih.

3. Kes-kes popular

Rata-rata pendebat mempunyai bahan rujukan yang sama ketika membuat kajian berkenaan usul. Justeru, tidak mustahil sekiranya fakta yang dikemukakan biasanya tidak jauh berbeza.

Oleh hal yang demikian, adalah penting untuk pendebat menguasai kes-kes popular berkenaan pencemaran alam – bukan sahaja untuk mengukuhkan hujah sendiri, malah untuk meramal dan memahami hujah pihak lawan dalam satu-satu usul.

Misalnya, dalam konteks pencemaran air, para pendebat perlu berkenalan dengan kes pencemaran sungai-sungai tempatan (Klang, Gombak, Linggi, Pahang, dan lain-lain) dan antarabangsa (Thames, Atchafalaya, Ganges, Yangtze, dan lain-lain).

Dalam konteks pencemaran radioaktif dan sisa toksik, sudah pasti para pendebat perlu tahu tentang peristiwa Chernobyl (kegagalan loji nuklear), Bhopal (kebocoran gas toksik), Minamata (keracunan merkuri), dan lain-lain.

Peringatan: Para pendebat juga boleh menyertakan komponen “Kes-Kes Lain” untuk melengkapkan lagi carian, khusus untuk fakta berkenaan pencemaran alam sekitar yang barangkali terpencil dan tidak mendapat liputan meluas.

4. Langkah-langkah mengatasi pencemaran

Biasanya, komponen ini melibatkan tindakan mencegah pencemaran daripada berlaku, atau untuk merawat kesan pencemaran terhadap alam sekitar.

Pendebat digalakkan memberi tumpuan kepada tindakan yang berbentuk fizikal dan penggunaan teknologi bagi mengatasi pencemaran kerana langkah berbentuk dasar dan undang-undang lebih sesuai diklasifikasikan dalam komponen lain.

Langkah / teknologi lazim yang digunakan seperti kitar semula, insinerator, catalytic converter, penapis asap, pembersihan sungai, teknologi bakteria, penggunaan HCFC – ini semua perlu berada di hujung jari para pendebat (sekurang-kurangnya definisi asas dan teknik penggunaan).

5. Organisasi

Terdapat banyak organisasi tempatan dan/atau antarabangsa yang berkait rapat dengan pencemaran alam sekitar. Pilih organisasi yang relevan untuk disertakan di dalam helaian fakta.

Organisasi yang berkenaan boleh terdiri daripada badan penguatkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar atau badan bebas yang memperjuangkan isu alam sekitar seperti Greenpeace, WWF, dan sebagainya.

Salah satu daripada topik yang sentiasa dibincangkan dalam DAS ialah bidang kuasa organisasi-organisasi berkenaan. Justeru, penting bagi para pendebat untuk mengenal pasti sejauh manakah bidang kuasa yang diperuntukkan bagi setiap organisasi.

Beberapa soalan perlu diajukan, misalnya; Adakah organisasi tersebut boleh menggubal undang-undang berkaitan alam sekitar dan menguatkuasakan undang-undang tersebut? Adakah organisasi tersebut boleh mengenakan hukuman terhadap anggotanya? Adakah organisasi tersebut bersangkut-paut dengan kerajaan atau badan antarabangsa?

6. Undang-Undang, Perjanjian & Dokumen

Salah satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah melalui penguatkuasaan undang-undang sama ada melalui penggubalan undang-undang oleh badan legislatif sesebuah negara, perjanjian rentas sempadan yang ditandatangani oleh para anggota sesebuah badan antarabangsa, atau perisytiharan yang dipersetujui bersama dalam konvensyen antarabangsa.

Justeru, para pendebat perlu mengetahui serba sedikit mengenai kesemua perkara di atas untuk memahami mekanisme undang-undang mahupun dokumen rasmi berkenaan alam sekitar.

Beberapa dokumen ulung seperti Konvensyen Basel (kawalan ke atas pemindahan sisa berbahaya), Protokol Kyoto (pengurangan emisi gas rumah hijau), dan Protokol Montreal (perlindungan lapisan ozon) perlu diketahui secara mendalam oleh para pendebat.

Masalah utama yang bakal dihadapi oleh para pendebat dalam memahami dokumen sebegini ialah peruntukannya yang biasanya teknikal dan meleret. Adalah hampir mustahil untuk para pendebat membaca keseluruhan perjanjian / protokol / konvensyen yang mececah ratusan muka surat.

Saya cadangkan agar para pendebat mengakses laman sesawang yang menerangkan dokumen tersebut secara ringkas. Ada sesetengah laman sesawang yang menyediakan ruang FAQ (Frequently Asked Question) untuk membantu pembaca memahami dokumen atau perjanjian antarabangsa yang rumit.

Setelah memahami kerangka dokumen tersebut, barulah klausa-klausa utama dan relevan berkaitan dengan pencemaran alam sekitar boleh dikenal pasti dan disertakan dalam helaian fakta.

Maaflah, entri kali ini berjela-jela. Semoga artikel ini serba sedikit dapat membantu persediaan para pendebat bagi menghadapi DAS tidak lama lagi.

Sebarang soalan berkenaan entri ini boleh disertakan di ruang komen.

© 2020 nizambakeri.com